Liga Super Malaysia Berita

Yusri Che Lah Pilih Kuala Lumpur

Yusri Che Lah mengumumkan bahawa beliau akan membimbing pasukan Kuala Lumpur untuk saingan Liga Malaysia (Liga-M) bagi musim hadapan.

Biarpun sebelum ini beliau pernah menyatakan hasrat untuk kekal bersama Kelantan tetapi di atas sebab beberapa faktor yang tidak dapat dielak beliau terpaksa melupakan hasrat untuk membimbing pasukan daripada pantai timur itu.

“Sejujurnya, secara lisan saya sudah mengesahkan saya bersedia untuk bersama pasukan Kelantan.

“Dalam pertemuan sebelum ini, (20 November), iaitu sebelum saya mengerjakan umrah, saya sepatutnya sudah menandatangani kontrak, tetapi sehingga saya kembali ke tanah air, kontrak belum lagi disediakan.

“Saya tidak menyalahkan pasukan Kelantan sebenarnya, cuma di sini mungkin jodoh saya tidak bersama mereka. Kalau Allah meletakkan saya bersama Kelantan, saya rasa sebelum pergi umrah lagi saya dapat menandatangani kontrak itu.

“Dengan kemudahan teknologi internet yang ada pada hari ini, semua urusan itu cukup mudah. Hantar saja (tawaran kontrak) melalui emel dan kita boleh tandatangan terus dan ia selesai.

“Bagi saya, semua ini ketentuan Allah, kita hanya merancang,” katanya pada Berita Harian di sidang media memperkenalkannya selaku jurulatih baharu skuad Warga Kota.