Kolum

Piala AFF Suzuki 2018 : 5 Perkara Yang Kita Belajar – Thailand vs Malaysia

1. Komen ‘mimpi ngeri’ Chatchai beri motivasi kepada Malaysia

Komen dari penjaga gol Thailan yang mendakwa Malaysia akan menghadapi ‘mimpi ngeri’ nyata menjadi sumber motivasi kepada pasukan Malaysia. Kapten pasukan negara, Zaquan Adha mengakui komen daripada penjaga gol Thailand nyata memakan diri selepas penjaga gol tersebut tertewas dua kali hasil daripada jaringan cantik Syahmi Safari dan penyerang berpengalaman negara Norshahrul Idlan Talaha. Chatchai yang tidak beraksi dengan baik sepanjang perlawanan nyata seperti tidak dapat tidur lena dan dihantui oleh komen beliau sendiri.

2. Syahmi Safari anak muda yang tidak cepat mengalah.

Syahmi Safari yang beraksi konsisten sepanjang kempen Piala AFF Suzuki 2018 telah membuktikan bahawa beliau bukanlah seorang anak muda yang mudah mengalah. Beliau yang meledakkan gol pertama untuk Malaysia bagi menyamakan kedudukan setelah ketinggalan 0-1 oleh Thailand. Bermain di bahagian kanan pertahanan negara, anak muda ini membuktikan bahawa beliau mampu untuk menunjukkan kemampuan diri beliau mengubah perlawanan. Biarpun dilayangkan kad merah pada akhir minit perlawanan, ia tidak memadamkan semangat juang anak muda ini daripada awal minit pertama.

3. Semangat tidak mengalah.

Harimau Malaya yang ketinggalan dua kali setelah pasukan Thailand berjaya mencari gol pendahuluan pada separuh masa pertama dan kedua nyata tidak mematahkan semangat pemain. Mereka bermain dengan tenang dan sentiasa fokus dalam membina semula perlawanan. Gol daripada pemain muda Syahmi Safari dan Norshahrul Idlan Talah adalah bukti bahawa anak buah Tan Cheng Hoe tidak akan mengalah.

4. Ketiadaan Aidil Zafuan

Tan Cheng Hoe tidak dapat menyembunyikan perasaan kecewa apabila Aidil Zafuan terpaksa dibawa keluar seawal separuh masa pertama setelah mengalami kecederaan yang serius. Beliau yang mengetuai barisan pertahan negara sebelum ini dilihat mempunyai kerjasama yang baik dengan pertahanan Perak, Shahrul Saad. Kemasukan Irfan Zakaria, pemain berusia 23 tahun negara nyata tidak memberi kesan yang baik apabila beliau banyak melakukan kesalahan sehingga Malaysia dihukum dua kali oleh Thailand.

5. Nasib yang menyebelahi Malaysia

Thailand dihadiahkan sepakan penalti di akhir minit perlawanan setelah bola terkena tangan pemain negara Syahmi Safari. Adisak Kraison yang mempunyai rekod jaringan terbanyak sepanjang kempen Piala AFF Suzuki 2018 ditugaskan oleh pengendali Thailand, Milovan Rajevac untuk mengambil sepakan penalti. Penyerang yang digeruni lawan dan dihormati rakan ini tampak seperti tiada masalah dalam menyelesaikan tugas beliau. Tetapi lain ceritanya apabila sepakan beliau terbang jauh menuju ke luar padang dan terus menggagalkan misi Gajah Perang untuk layak ke pentas final. Jika Adisak berjaya menjaringkan gol tersebut, pasti lain ceritanya.