Bakal pemain sayap Selangor musim hadapan, Syazwan Zainon menegaskan bahawa bekerja dalam pasukan adalah perkara paling penting walaupun tidak diturunkan untuk membarisi kesebelasan utama pada pertemuan dengan Myanmar di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.
Beliau yang menjadi pilihan ketiga Tan Cheng Hoe untuk posisi sayap kiri negara perlu bersaingan dengan Akhyar Rashid dan Safawi Rashid untuk menembusi kesebelasan utama negara.
Justeru bagi beliau, kemenangan pasukan adalah lebih penting bagi memastikan Malaysia menempah tempat ke pusingan seterusnya.
“Saya tak kisah sama ada diturunkan atau tidak berdepan Myanmar kerana apa yang penting kemenangan pasukan,” katanya yang tidak diturunkan ketika Harimau Malaya tewas 0-2 kepada Vietnam di Hanoi, Jumaat lalu.
“Saya tidak cedera tapi prestasi saya bukan berada pada tahap terbaik sebab itu saya tidak diturunkan ketika berdepan Vietnam.
“Tapi jika saya diturunkan berdepan Myannar nanti, sudah pasti saya akan buat yang terbaik dan begitu juga dengan pemain lain kerana kami hanya mahukan kemenangan.” Kata beliau kepada Berita Harian.
Myanmar yang pernah menewaskan Malaysia pada Piala AFF Suzuki edisi 2016 dahulu adalah sebuah pasukan yang meningkat naik. Tambah pula dengan kehadiran penyerang muda mereka, Aung Thu yang bermain di Liga Thailand pasti menguatkan lagi pasukan Myanmar.
Sebelum ini Myanmar berjaya mengikat pasukan Vietnam dengan keputusan seri tanpa jaringan di laman sendiri.
Syazwan yakin dengan kehadiran beberapa pemain baharu dalam skuad negara serta percaya dengan kemampuan yang mereka ada bagi menundukkan Myanmar.
“Pada Piala AFF 2016 kami tewas 0-1 kepada Myanmar dan tersingkir dari kejohanan. Tapi kali ini pasukan sudah berbeza dengan kehadiran beberapa pemain baharu.
“Malah, kita memiliki kelebihan beraksi di gelanggang sendiri dan saya yakin kami mampu mara ke separuh akhir,” katanya kepada Berita Harian