Malaysia Berita

Tidak Mahu Ambil Mudah, Khairul Fahmi Azam Pertahan Tempat

Khairul Fahmi Che Mat, kapten pasukan kebangsaan menganggap tempatnya di dalam pasukan kebangsaan masih belum selamat walaupun telah diberi tugas selaku seorang kapten.

Baginya, persaingan untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama ini adalah berlaku dalam keadaan sihat kerana melihat daripada kewibawaan pemain lain dan kesungguhan mereka membuatkan Khairul Fahmi tidak mahu duduk terlalu selesa.

Malaysia akan turun bertemu Kyrgyzstan malam esok di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput di mana pihak lawan akan menurunkan skuad utama Piala Asia 2018.

Beliau berkata, perlawanan persahabatan ini adalah medan terbaik untuk menguji dan menilai pemain mana yang layak untuk menggalas tugas membawa pulang Piala AFF yang akan datang.

“Pada masa sama, saya tetap menganggap saingan sebagai penjaga gol skuad Harimau Malaya tetap sengit menerusi kehadiran rakan sepasukan berwibawa di posisi itu.

“Namun, ia adalah persaingan sihat dalam menzahirkan persembahan positif bagi mengisi posisi penjaga gawang utama Harimau Malaya,” katanya.

Malaysia yang diundi bersama Kemboja, Myanmar, Vietnam dan Laos akan memulakan kempen Piala AFF Suzuki 2018, November ini.