Malaysia Berita

Nidzam Dalam Radar MU

Mohd Nidzam Jamil, 38, menjadi calon hangat untuk mengendalikan skuad negeri Melaka musim depan setelah pengurusan skuad Melaka United beralih angin setelah gagal mendapatkan Abu Bakar Fadzim, jurulatih PKNP FC.

Beliau yang kini menjadi penolong jurulatih kepada B Sathianathan di FELDA United ketika dihubungi Sukan NSTP enggan mengulas lanjut namun mengakui ada dihubungi pihak pengurusan MU baru-baru ini.

“Buat masa sekarang saya tak boleh nak kata betul atau tidak (menerima tawaran MU) kerana saya masih lagi memiliki kontrak dengan FELDA hingga November ini.

“Lagipun, saya masih menunggu perancangan pengurusan FELDA untuk musim depan. Kalau tanya saya, memang agak sayang nak tinggalkan pasukan sebab kami sudah mengharungi musim ini dengan cemerlang sekali hingga berjaya menjuarai Liga Perdana.

“Malah, pada musim depan kami akan membuat penampilan semula di Liga Super. Apapun, saya perlu menghormati kontrak yang ada sebelum membuat sebarang keputusan mengenai masa depan saya,” katanya.

Pemilihan Nidzam untuk membimbing MU dilihat tepat dengan beliau dianggap antara jurulatih muda terbaik yang ada di Malaysia ketika ini.

Kejayaan paling manis yang pernah dikecapi bekas tonggak pertahanan kental Selangor itu adalah pada musim 2012 di mana beliau berjaya membawa SPA FC menjuarai Liga FAM sekali gus melakar sejarah selaku pengendali termuda memenangi trofi itu pada usia 32 tahun.

Malah, pada musim yang sama beliau berjaya memastikan SPA FC muncul sebagai lapan pasukan terbaik dalam saingan Piala FA sebelum tewas kepada Kelantan di peringkat suku akhir kejohanan.

Selain berpengalaman bersama SPA FC selama tiga musim, beliau turut pernah membimbing AirAsia FC (2015-2016) dan Pasukan Bolasepak Universiti Malaysia (2016) yang bertanding di dalam Kejohanan Universiti Dunia di Taiwan, sebelum memilih untuk ‘berguru’ dengan Sathianathan di FELDA United sebagai penolong jurulatih sejak dua musim lalu.