Jurulatih Felda United, B. Sathianathan ternyata terkejut dan kecewa dengan kekalahan 6-1 kepada Melaka United dalam perlawanan terakhir saingan Kumpulan B Piala Malaysia.
Katanya, meskipun pasukannya sudah melayakkan diri ke suku akhir, kekalahan teruk itu berpunca daripada kesilapan pemainnya yang melepaskan tiga gol pada separuh masa pertama.
“Saya tidak sangka. Empat daripada gol itu macam kita bagi begitu sahaja kepada pihak lawan. Kekalahan yang memalukan. Dalam sejarah saya mengendalikan liga saya tidak pernah kena seperti ini. Pemain sudah hadiahkan saya satu rekod untuk saya simpan.
“Apa yang kita boleh buat sekarang ialah menaikkan kembali semangat mereka dan saya berharap agar mereka bangkit pada suku akhir dan jadikan ini sebagai satu pengajaran,” katanya.
Melaka yang sudah tersingkir mendapat gol pendahuluan menerusi Ifedayo Olusegun seawal minit kesembilan, diikuti gol daripada Yahor Zubovich (m-24) dan Olusegun (m-43).
Melaka menambah tiga lagi gol menerusi S Chanturu (m-72, 77) dan Olusegun (m-83) dengan Felda sekadar mendapat gol saguhati.
Ketika ditanya sama ada akan menggugurkan pemain untuk perlawanan seterusnya, Sathia menganggap beliau harus terus menaruh kepercayaan kepada pemain sedia ada.
“Saya tidak boleh ambil pemain baharu kerana ini semua adalah pemain saya. Apa yang penting adalah kekuatan mental mereka. Bagi tempoh seminggu ini kita akan fokus kepada persediaan mental sebelum menentang Terengganu FC,” katanya.
Ketua jurulatih Melaka United, E. Elavarasan pula merasa terkilan kerana meskipun menang besar 6-1 ke atas Felda United, pasukannya tetap gagal untuk mara ke suku akhir.
“Terkilan dan ini adalah satu kerugian besar. Felda United bukan calang-calang pasukan. Pasukan kita kali ini lebih teratur. Namun kita akur kerana jika mahu ke peringkat seterusnya, pada awal lagi pasukan kita kena catatkan kemenangan.
“Bagaimanapun, kita menyifatkan kemenangan ini sebagai kemenangan moral demi Persatuan Bola Sepak Melaka United dan penyokong. Kita harap pasukan dapat mengekalkan prestasi pada masa akan datang,” katanya. -Bernama