Malaysia Berita

Melaka United jamin selesaikan isu tunggakan gaji yang dihadapi

Perubahan kepimpinan kerajaan negeri dan Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) menyebabkan timbulnya masalah tunggakan gaji terhadap pemain Melaka United sejak tiga bulan lalu.

Walaubagaimanapun, Timbalan Presiden MUSA, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi menegaskan bahawa beberapa langkah-langkah untuk menyelesaikan perkara tersebut sedang dijalankan.

Malah perbincangan bersama Ketua Menteri Melaka yang juga Presiden MUSA, Adly Zahari memberikan kesudahan yang positif dan yakin perkara tersebut akan selesai dalam masa terdekat.

Pada masa yang sama, Datuk Wira Yusoff Mahadi juga menjelaskan bahawa mereka bukan sahaja akan menyelesaikan isu tunggakan gaji malah ingin memastikan baki gaji pemain sehingga bulan November juga diterima.

Selain itu, beliau juga melahirkan kebimbangan berkenaan penyertaan Melaka United dalam Liga Malaysia andai perkara tersebut tidak ditangani dengan baik.

“Bukan setakat tiga bulan, malah MUSA juga berusaha untuk memastikan gaji pemain sehingga November dibereskan dengan isu berkenaan tidak akan berlarutan.”

“Usaha presiden amat dihargai dan kami yakin semuanya akan selesai. Kita memahami penyertaan MU di Liga Malaysia akan terjejas jika isu itu berlarutan ke musim depan,” katanya.

Sebelum itu, sebahagian penyokong Melaka United meluahkan kebimbangan terhadap perkara tersebut sejurus tamat perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Felda United di Stadium Hang Jebat.