Malaysia Berita

Malaysia perlu tingkatkan prestasi, Kemboja dan Laos bukan lagi pasukan belasahan

Penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat menganggap kemenangan 3-1 ke atas Kemboja bukanlah mudah untuk diraih.

Katanya, perlawanan itu memberi gambaran yang lebih besar dan menandakan Kemboja yang dahulunya dikenali sebagai pasukan belasahan, kini mampu bersaing dengan pasukan yang mempunyai reputasi di peringkat antarabangsa.

Malah, mereka boleh melakukan kejutan terutamanya pada Piala AFF Suzuki 2018, November ini.

“Pasukan Kemboja sangat berbeza di bawah Keisuke Honda. Saya pernah bermain menentang Kemboja sebelum ini tapi ini pasukan Kemboja yang terbaik.

“Saya percaya pada Piala AFF nanti, kita tak boleh ambil mudah pasukan underdog, kita kena bersedia kerana mereka boleh bangkit menewaskan kita,” katanya.

Selain Kemboja dan Laos, pasukan kebangsaan juga perlu berdepan Vietnam dan Myanmar untuk melepasi halangan Kumpulan A sekali gus layak ke separuh akhir.

Shahrel Fikri dilihat paling menyinar ketika menentang Kemboja tempoh hari selepas membantu menghasilkan dua jaringan dan menjaringkan gol namun skuad kebangsaan seharusnya berterima kasih kepada Khairul Fahmi yang tampil menyelamatkan hampir lima percubaan berbahaya daripada pihak lawan.

Biarpun begitu, Khairul Fahmi enggan menganggapnya sebagai satu jaminan untuk menjadi penjaga gol nombor satu negara.

“Masih banyak yang perlu saya perbaiki, kena kerja kuat lagi untuk rebut tempat dalam skuad ke Piala AFF,” katanya.

Tempat Khairul Fahmi akan dicabar oleh Farizal Marlias, Hafizul Hakim, Haziq Nadzli, Izham Tarmizi dan Ifwat Akmal Chek Kassim.