Malaysia Berita

Tan Cheng Hoe gembira pemain Malaysia tidak mudah mengalah

Tan Cheng Hoe berasa teruja apabila melihat sikap para pemainnya yang tidak mudah mengalah dan bangkit daripada ketinggalan dengan menewaskan Kemboja 3-1 di Phnom Penh, malam semalam.

Ia kemenangan pertama skuad kebangsaan di gelanggang lawan sejak menewaskan New Caledonia 2-1 pada 22 Jun 2016.

“Selepas kita melepaskan gol awal, pemain bangkit dan memberikan persembahan yang lebih baik di separuh masa kedua. Pemain mempamerkan sikap tak mengalah dan saya harap pemain akan mengekalkan prestasi apabila beraksi di tempat lawan.

“Banyak aspek positif pemain dalam perlawanan ini dan saya harap mereka akan lebih bersedia apabila Piala AFF bermula nanti,” katanya kepada Berita Harian.

Kemboja memperoleh gol pendahuluan menerusi Thierry Chantha Bin sebelum Shahrul Saad, Syazwan Andik dan Shahrel Fikri Md. Fauzi menjaringkan gol kemenangan.

Kemenangan tersebut cukup penting buat Malaysia selepas tewas 0-2 kepada Taiwan, minggu yang lalu.

Tambah Cheng Hoe, Kemboja jelas bukan lawan yang mudah dan akan menjadi lebih sukar apabila bertemu dalam saingan Piala AFF Suzuki akan datang.

“Pemain kita cukup bersemangat untuk menyerap tekanan dengan Keisuke Honda di tepi padang. Dengan jurulatih baru, ia bukan mudah buat pemain Kemboja tapi saya percaya bukan mudah untuk kita mengatasi mereka pada Piala AFF nanti,” jelas Cheng Hoe.

Selain Kemboja, Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama Laos, Vietnam dan Myanmar.