Malaysia Berita

Juara Piala FAM 2018 belum sah beraksi di Liga Premier musim hadapan

Terengganu City Football Club (TCFC) belum sah beraksi dalam saingan Liga Premier (divisyen dua) musim hadapan walaupun telah menjuarai Piala Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) 2018 baru-baru ini.

Ia berikutan pengurusan kelab tersebut masih lagi tidak membuat sebarang keputusan mengenai perkara tersebut walaupun mereka telah layak secara automatik apabila berjaya ke saingan akhir kejohanan tersebut.

Ketua jurulatih TCFC, Md Noor Derus hanya tidak mengulas panjang ketika ditanya mengenai hala tuju pasukannya sejurus tamat perlawanan akhir Piala FAM lalu.

“Perkara itu, pengurusan yang akan maklumkan selepas ini. Kita akan tengok bagaimana perancangannya,” kata Md Noor selepas skuad kendaliannya menewaskan Selangor United 2-0 pada aksi final Piala FAM 2018.

Beberapa hari lalu,Jawatankuasa Status FAM telah mengarahkan TCFC membayar tunggakan gaji enam orang pemain mereka setelah bermesyuarat pada 27 Ogos lalu.

Tunggakan tersebut dianggarkan bernilai RM283,000 dan mereka perlu membayar tunggakan tersebut dalam masa 30 hari. FAM turut bersedia membawa mereka ke Jawatankuasa Tatatertib jika perkara tersebut gagal dilaksanakan.

Perkara tersebut pastinya menimbulkan keresahan buat pemain TCFC untuk memikirkan masa depan kerjaya mereka yang sepatutnya memperoleh kenaikan pangkat untuk bermain di Liga Premier 2019.

Md Noor Derus juga sempat mengulas mengenai kejayaan mereka merangkul kejohanan tersebut dan mengakui masih banyak perkara yang perlu dipelajari memandangkan beliau juga merupakan masih baru dalam dunia kejurulatihan.

“Pengalaman ini amat berguna untuk jurulatih baharu macam saya dan saya masih perlu belajar dengan jurulatih yang lebih berpengalaman.”

“Piala FAM nampak mudah tapi sebenarnya susah sebab pasukan terdiri daripada pemain tidak ternama. Jadi, kita harus ajar mereka dengan taktikal dan banyak benda kita kena buat,” katanya.