Malaysia Asia

Sukan Asia 2018: Malaysia ada potensi jumpa Indonesia di Separuh Akhir

Mungkin terlalu awal untuk membuat ramalan dengan Malaysia hanya akan berdepan Jepun pada hari Jumaat ini dan perlu juga berdepan sama ada Arab Saudi atau China di suku akhir. Tetapi adakah kita bakal melihat pertembungan seteru kuat di Asia Tenggara di peringkat separuh akhir Sukan Asia?

Melihat pada susunan pasukan untuk pusingan kedua sehingga ke peringkat akhir, ada kemungkinan untuk anak buah Datuk Ong Kim Swee berdepan skuad Indonesia di bawah kendalian Luis Milla di separuh akhir. Melihat kepada begitu banyak pertembungan di antara Malaysia dan Indonesia dalam acara bolasepak tahun ini, pastinya satu perkara menarik jika ini berlaku.

Ramai tahu mengenai perseteruan yang cukup kuat di antara Malaysia dan Indonesia dalam bolasepak, pertembungan dua pasukan ini di Sukan Asia yang juga berlangsung di Jakarta pastinya akan menjadi tumpuan hangat.

Jika Malaysia dan Indonesia mahu berdepan sesama sendiri di peringkat separuh akhir, kedua-dua negara perlu menunjukkan aksi bagaikan perlawanan akhir dalam setiap perlawanan mereka.

Indonesia yang mendapat sokongan kuat dari penyokong mereka. Dengan sokongan padu penyokong tuan rumah, Indonesia pastinya bersemangat mahu menumbangkan UAE di pusingan kedua dan seterusnya berdepan salah satu daripada Bangladesh dan Korea Utara di suku akhir.

Bagi Malaysia pula, selepas kejayaan menumbangkan juara bertahan, Korea Selatan, pastinya kita lebih bersemangat untuk menunjukkan aksi terbaik dan mara sejauh mungkin di Sukan Asia kali ini.

Satu perkara yang jelas, Malaysia kelihatan selesa beraksi di Indonesia. Kita menjulang Piala AFF Suzuki 2010 dan pingat emas Sukan SEA 2011 di Indonesia. Tahun ini juga skuad bawah 19 tahun kita menjulang trofi Piala AFF Bawah 19 tahun di Indonesia. Mungkinkah skuad bawah 23 tahun kita juga akan merasa nasib yang sama di Indonesia?

Jika pertembungan ini berlaku, pastinya negara Asia lain yang bertandang ke Sukan Asia akan dapat menyaksikan betapa kuatnya perseteruan Malaysia dan Indonesia dalam acara bolasepak. Mungkin suatu perkara yang tidak akan dapat dilihat di mana-mana negara Asia yang lain.