Datuk Ong Kim Swee dilihat melakukan perubahan besar ke atas skuad bawah 23 tahun negara dengan menurunkan hampir keseluruhan pemain simpanan ketika menentang Bahrain B23 dalam aksi terakhir Kumpulan E semalam.
Mengulas mengenai percaturan tersebut, bekas pengendali skuad kebangsaan negara dan juga ketua jurulatih Felda United, B. Sathianathan turut melakukan perkara yang sama jika berada di tempat Datuk Ong Kim Swee.
“Kalau saya berada di tempat Datuk Ong Kim Swee, saya juga akan melakukan perkara sama.”
Beliau juga turut menjelaskan kepentingan para pemain mendapat rehat yang secukupnya dan mengelakkan risiko menerima kecederaan sebelum menghadapi Jepun B23 dalam aksi 16 terakhir nanti.
“Tiada gunanya kita menyasarkan kemenangan bersih di peringkat kumpulan tetapi pemain utama kita terjejas untuk aksi peringkat 16 terbaik kerana tidak mendapat rehat secukupnya ataupun mengalami kecederaan.”
Pada masa yang sama, B. Sathianathan turut menjelaskan bahawan Datuk Ong Kim Swee bertindak melakukan perkara sedemikian untuk melihat pemain yang berpotensi untuk menggantikan pemain utama jika ditimpa perkara diluar jangkaa.
“Saya lihat Kim Swee mengambil pendekatan yang bijak dengan menyenaraikan barisan kedua kerana dia mahu mencari pemain gantian yang memiliki kaliber yang sama dengan pemain utama jika terjadinya perkara yang tidak diingini.”
Selain itu, barisan kejurulatihan Jepun B23 juga dilihat menonton aksi pasukan Malaysia B23 di Stadium Wibawa Mukti, Cikarang. Pastinya kelemahan dan kekuatan Harimau Muda dapat disembunyikan daripada pemerhatian mereka.
“Malah, dengan barisan kejurulatihan Jepun dikatakan turut menyaksikan perlawanan itu, sudah tentu kekuatan penuh Malaysia dapat ‘disembunyikan’ sebelum aksi sebenar nanti,” kata pengendali Felda United itu lagi.
Pada aksi tersebut, Datuk Ong Kim Swee hanya menyenaraikan Adam Nor Azlin, Baddrol Bakhtiar dan Syahmi Safari yang merupakan pemain kesebelasan utama ketika menentang Korea. Pada separuh masa kedua, Akhyar Rashid dan Safawi Rasid pula dimasukkan.
Skuad B23 negara akan menentang Jepun B23 pada Jumaat ini (24 Ogos 2018) di Stadium Patriot Chandrabhaga, Bekasi pada pukul 8.30 malam waktu Malaysia.