Malaysia Liga Super Malaysia

Malaysia perlukan pemain naturalisasi – Irfan Bakti

Malaysia perlukan pemain naturalisasi.

Itulah pendapat ketua jurulatih Terengganu, Irfan Bakti berkenaan isu pemain naturalisasi yang menjadi antara topik hangat di kalangan peminat bolasepak Malaysia semenjak dua menjak ini.

“Kejayaan barisan muda negara (menewaskan Korea Selatan di Sukan Asia) itu sesuatu yang luar biasa dan harus dipuji kerana aksi terbaik mereka, namun saya bukan berniat untuk memperlekehkan pemain tempatan, tapi pemain naturalisasi perlu ada dalam skuad kebangsaan jika tidak bola sepak negara sukar melangkah lebih jauh,” kata Irfan Bakti seperti dilaporkan Berita Harian.

Isu mengenai pemain naturalisasi ini timbul apabila pemain Pahang, Mohamadou Sumareh telah sah menjadi warganegara Malaysia dan ramai pencinta bolasepak tempatan mahu Sumareh dipanggil menyertai skuad kebangsaan.

Menurut Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin sebelum ini, Sumareh boleh menyarung jersi Harimau Malaya namun semuanya tetap bergantung kepada ketua jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe juga.

Melihat kepada prestasi Sumareh bersama Pahang musim ini, ramai peminat bolasepak negara mahu melihat pemain kelahiran Gambia itu beraksi untuk skuad negara di Piala AFF Suzuki. Namun, ada juga pihak yang tidak bersetuju kerana risau peluang untuk pemain tempatan semakin kurang.