Malaysia Berita

Sukan Asia 2018: Adakah Malaysia berpeluang ke separuh akhir?

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berharap perjalanan skuad negara B-23 tidak sekadar terhenti di pusingan 16 terakhir sahaja tetapi mara sehingga separuh akhir bagi acara bolasepak di Sukan Asia 2018.

Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, kemenangan manis ke atas Korea Selatan memberi petanda positif kepada mereka dalam usaha untuk meneruskan kemaraan pada edisi kali ini selepas kerap terkandas di peringkat kumpulan pada edisi Sukan Asia yang terdahulu.

Katanya, tiada apa yang mustahil dalam bola sepak dan pemain negara sudah membuktikannya apabila berjaya menewaskan Korea Selatan.

Bagaimanapun, Hamidin menegaskan pemain tidak seharusnya selesa dengan status selaku juara Kumpulan E memandangkan masih ada baki satu perlawanan bertemu Bahrain di peringkat kumpulan hari ini.

“Walaupun ada kemungkinan Kim Swee akan menurunkan barisan simpanan bagi memastikan pemain utama mendapat rehat secukupnya tetapi mereka tetap perlu mengekalkan rentak kemenangan.

“Jadi, saya mengharapkan pemain tidak terbuai-buai dengan kemenangan ke atas Korea Selatan tempoh hari, sebaliknya kekal fokus untuk mengharungi aksi terakhir peringkat kumpulan.

“Aksi pusingan 16 terbaik adalah sangat mustahak. Mereka perlu terus berusaha untuk mara lebih jauh ke suku akhir dan selepas itu mungkin ke separuh akhir pula.

“Mereka perlu mencuba sebaik mungkin sekurang-kurangnya untuk membawa pulang pingat,” katanya kepada Berita Harian.

Jika Malaysia tewas di tangan Bahrain dan Korea Selatan menang ke atas Krygyzstan sekalipun, slot juara Kumpulan E tetap menjadi milik Malaysia berdasarkan rekod pertemuan antara Malaysia dan Korea Selatan.

Malaysia dijangka bertemu Jepun pada pusingan 16 terakhir.