Jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim sanggup melepaskan Shahrel Fikri Md. Fauzi jika beliau mendapat tawaran untuk beraksi di luar negara.
Katanya, PKNP tidak mempunyai sebarang masalah dengan hasrat penyerang terbaiknya untuk bermain di luar negara apabila kini menjalani tempoh pinjaman lima bulan bersama kelab Nakhon Ratchasima jika pasukan Liga Divisyen 1 Thailand itu berminat untuk mendapatkan khidmat Shahrel pada musim hadapan.
“Sama ada dia akan terus bersama Nakhon Ratchasima, itu bergantung kepada prestasi semasanya dan juga keputusan sama ada dia mahu terus beraksi di luar negara.
“Sebagai jurulatih, saya akan terus memberi galakan kepadanya untuk mengambil cabaran baharu dan jika ada tawaran lain, saya rela melepaskannya untuk dia mengejar cita-citanya,” katanya kepada Berita Harian.
Minggu lepas, Shahrel akhirnya menjaringkan gol pertamanya bersama Nakhon Ratchasima selepas dua bulan beraksi di pasukan Liga Divisyen 1 Thailand itu.
Selepas kempunan untuk menjaringkan gol pada aksi liga, pemain pinjaman PKNP FC itu akhirnya dapat tersenyum gembira apabila berjaya menjaringkan gol sulung bersama pasukannya itu pada aksi suku akhir Piala Liga Thailand bertemu Ranong United.
Beliau memanfaatkan hantaran lambung daripada rakan sepasukannya sebelum melakukan menendang menggunakan kaki kanan yang menerjah gawang Ranong United pada minit ke-72, sekali gus membolehkan pasukannya selesa berkelebihan tiga gol.
Mengulas lanjut jaringan sulung Shahrel, Abu Bakar berkata beliau sudah menjangkakan anak buahnya itu mampu untuk menjaringkan gol meskipun beraksi dalam saingan yang lebih sukar.
“Memang saya jangkakan Shahrel pasti dapat menjaringkan gol kerana sikapnya yang sentiasa berusaha untuk menambahkan keyakinan ketika beraksi.
“Syukurlah dia berjaya meledak gol pertamanya dan saya percaya lebih banyak gol dapat disumbangkan olehnya selepas ini,” katanya.