Liga Super Malaysia Berita

Masalah tajaan punca gaji pemain Melaka tertunggak

Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari mengesahkan kesemua tunggakan gaji pemain dan jurulatih Persatuan Bolasepak Melaka United akan diselesaikan dalam tempoh sebulan.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Melaka berkata, selepas peralihan kerajaan, pihaknya berdepan dengan masalah tajaan termasuk daripada agensi dan syarikat swasta.

Namun, katanya, pihaknya akan memastikan kebajikan pemain sentiasa menjadi keutamaan.

“Saya yakin dalam tempoh sebulan, tunggakan ini bakal diselesaikan. Buat masa ini, perbincangan pihak pengurusan dengan pemain dan jurulatih sudah diadakan dan mereka sedia maklum mengenainya.

“Kita harap dalam tempoh berkenaan, sumbangan penaja bakal diterima dan kita juga yakin isu ini tidak mengganggu prestasi pemain,” katanya kepada Berita Harian.

Terdahulu, Melaka mengakui berdepan masalah kewangan hingga berlaku kelewatan membayar gaji pemain yang tertunggak dua bulan iaitu pada bulan Jun dan Julai.

Datuk Mohd Yusoff Mahadi menjelaskan, pihaknya dalam proses untuk menyelesaikan tunggakan gaji secepat yang mungkin.

Perbincangan juga sudah dilakukan bersama pasukan termasuk barisan jurulatih dan pemain dalam memastikan isu berkenaan tidak mengganggu prestasi pemain.

“Sebenarnya perkara ini sudah dua, tiga bulan berlaku tetapi nampaknya tidak memberi kesan kepada persembahan pasukan kerana pemain juga memahami masalah yang dihadapi persatuan.

“Jadi, saya harap pemain dapat meneruskan persembahan yang cemerlang. Bagi pihak pengurusan, kami sedang berusaha sebaik mungkin untuk menyelesaikan isu ini,” katanya.