Liga Super Malaysia Berita

MFL kaji jumlah yang sesuai untuk peruntukan tiket penyokong pihak lawan

 Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sedang mengkaji mekanisme terbaik untuk peruntukan maksimum lapan peratus tiket di setiap stadium bagi penyokong pihak lawan.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam berkata, perkara tersebut sudahpun dibincangkan dalam mesyuarat lembaga pengarah dan keputusan berhubung perkara itu akan diputuskan tidak lama lagi.

Bagaimanapun, Kevin menjelaskan pelbagai faktor perlu diambil kira bagi memastikan cadangan itu dapat dilaksanakan tanpa masalah dan kajian secara mendalam akan dilakukan terlebih dahulu sebelum ia boleh dilakukan.

“Peruntukan tiket buat penyokong pasukan pelawat adalah isu yang dilihat serius oleh MFL. Namun ia lebih daripada sekadar peruntukan tiket kerana ia membabitkan keupayaan pasukan tuan rumah untuk mengurus kumpulan besar penyokong pelawat khususnya dalam perlawanan yang ‘panas’.

“Persediaan venue pasukan tuan rumah untuk menguruskan peruntukan kehadiran penyokong pasukan pelawat dalam jumlah yang besar adalah antara faktor penting yang menjadi pertimbangan oleh MFL sebelum membuat apa-apa keputusan.

“Antara faktor lain adalah kesediaan pasukan tuan rumah untuk bersedia daripada aspek keselamatan kerana berkemungkinan beberapa perlawanan akan menyaksikan kehadiran penyokong lawan yang lebih tinggi daripada penyokong tuan rumah.

“Jadi dari pihak liga, isu ini adalah lebih mendalam daripada sekadar meluluskan peruntukan. Kita sudah bersedia untuk melaksanakannya pada masa akan datang selepas kajian dijalankan secara teliti,” katanya kepada Berita Harian.

Ketika ini, peruntukan tiket buat penyokong lawan lebih ditentukan menerusi budi bicara pengurusan penyokong tuan rumah dan ada kalanya bergantung kepada jenis perlawanan yang akan dihadapi pasukan masing-masing.

Mekanisme peruntukan tiket buat penyokong pasukan lawan yang digunapakai ketika ini menimbulkan masalah apabila penyokong pasukan lawan mendapat peruntukan yang terlalu sedikit dan disifatkan sebagai tidak adil.

Antara isu pembahagian tiket kepada penyokong lawan yang pernah menimbulkan kekecohan adalah apabila Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) hanya diberikan 100 tiket oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) bagi aksi suku akhir kedua Piala Malaysia pada tahun 2014.