Persatuan Bolasepak Melaka United mengakui berdepan masalah kewangan hingga berlaku kelewatan dalam membayar gaji pemain yang tertunggak dua bulan iaitu pada Jun dan Julai yang lalu.
Timbalan Presiden Melaka United, Datuk Mohd Yusoff Mahadi bagaimanapun menjelaskan pihaknya dalam proses untuk menyelesaikan tunggakan gaji para pemain secepat yang mungkin.
Katanya, perbincangan juga sudah dilakukan bersama pasukan termasuk barisan jurulatih dan pemain dalam memastikan isu berkenaan tidak mengganggu persembahan skuad Hang Tuah.
“Sebenarnya perkara ini sudah dua hingga tiga bulan berlaku tetapi nampaknya ia tidak beri kesan kepada persembahan pasukan kerana pemain juga memahami masalah yang dihadapi persatuan.
“Jadi, saya harap pemain meneruskan persembahan cemerlang. Bagi pihak pengurusan, kami sedang berusaha sebaik mungkin untuk menyelesaikan isu ini.
“Bila ada masalah tunggakan gaji ini, maknanya memang kami ada masalah kewangan,” katanya kepada Berita Harian.
Berita mengenai masalah gaji membabitkan Melaka United mungkin sedikit mengejutkan sedangkan Melaka dilihat berada pada prestasi terbaik selepas diambil alih jurulatih baharu, E Elavarasan.
Malah, sebelum jendela perpindahan kedua dibuka, Melaka berada di tempat ke-11 dalam liga dan diambang penyingkiran namun pengambilan beberapa pemain baharu seperti Khairul Fahmi Che Mat, Syahrul Azwari dan S. Veenod melonjakkan kedudukan ke tempat ketujuh liga, satu pencapaian yang luar biasa meskipun berhadapan dengan masalah kewangan.