Malaysia Berita

Saya ingin belajar sebanyak yang boleh di Jepun-Hadi Fayyadh

Penyerang B-19 tahun negara, Hadi Fayyadh Abdul Razak tidak akan sekali-kali mensia-siakan peluangnya ketika menjalani sesi pemilihan pemain selama enam hari bersama kelab divisyen kedua J2, Roasso Kumamoto yang berpusat di daerah Kumamoto, Kepulauan Kyushu di Jepun.

Katanya, beliau sanggup mengambil peluang tersebut meskipun tersenarai dalam pasukan kebangsaan B-23 bagi mengharungi Sukan Asia 2018 yang berlangsung pada minggu hadapan.

“Saya akan ke sana pada Ahad ini bersama bapa dan akan menjalani pemilihan enam hari sebelum pulang ke tanah air. Sudah pasti saya akan memberi yang terbaik dan cuba memikat pengurusan kelab tersebut.

“Ini cabaran dan peluang terbaik untuk saya dalam usia yang masih muda. Kita tahu tahap bola sepak Jepun jauh lebih baik berbanding Malaysia dan saya mahu menetap serta mempelajari seberapa banyak teknik dan kemahiran di sana nanti,” katanya kepada Utusan Online.

Walaupun gagal menjaringkan sebarang gol ketika Malaysia menjuarai Piala AFF bawah 19 tahun buat pertama kali dalam sejarah, beliau yakin prestasinya akan berada di tahap terbaik untuk menjalani sesi pemilihan tersebut.

“Walaupun saya tidak dapat menjaringkan gol namun misi saya adalah membantu pasukan menjadi juara.

“Ini terbukti apabila selepas balik dari kejohanan AFF, dalam tiga perlawanan Liga Perdana dan Piala Presiden, saya telah berjaya menjaringkan lima gol.

“Ini menunjukkan saya berada di tahap terbaik untuk ke sana nanti. Saya juga ingin berterima kasih kepada Pengarah Urusan Yakult Malaysia, Hiroshi Hamada di atas peluang yang diberikan kepada saya,” katanya.