Pemain kebangsaan B-16, Amirul Ashrafiq Hanifah dituduh menghina bendera Indonesia menerusi beberapa laporan media Indonesia apabila menggunakan logo bendera terbalik dalam Instagram Story miliknya sebelum berlepas ke Surabaya untuk menyertai Kejohanan AFF B-16.
Bagaimanapun, Pengarah Kanan Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) Safirul Azli Abu Bakar menganggap insiden tersebut hanyalah kesilapan kecil dan adalah sesuatu yang tidak disengajakan.
“Isu itu sengaja diperbesarkan, Amirul hanya letak di Instagram dengan kata-kata semangat bagi membawa cabaran Malaysia di Indonesia, tapi tersilap letak emoji bendera Indonesia. Dia letak bendera Poland,” katanya kepada Berita Harian.
Namun perkara itu jelas tidak disenangi oleh media Indonesia kerana isu bendera Indonesia terbalik pernah berlaku ketika Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.
Malah isu ini mencetuskan kebimbangan apatah lagi selepas pasukan B-19 negara diserang oleh penyokong Indonesia dengan batu dan botol selepas aksi separuh akhir Kejohanan AFF juga di Surabaya pada 12 Julai lalu.
Tambah Safirul, untuk tidak mahu memanaskan lagi keadaan serta bimbang pemain hilang fokus dengan isu terbaru ini, para pemain dinasihatkan supaya tidak aktif di media sosial buat masa ini.
“Saya sudah mengingatkan kepada semua jurulatih tentang peraturan senyap di media sosial ketika menghadapi kejohanan. Fokus 110 peratus dalam padang walaupun pemain tersebut tidak ada niat buruk dan sudah memadamkan status berkenaan,” kata Safirul.
Pasukan B-16 bernasib baik kerana tidak berada dalam kumpulan yang sama dengan Indonesia apabila diundi bertemu Thailand, Brunei, Singapura dan Laos dalam Kumpulan B yang akan bermula pada hari ini.