Malaysia Berita

Patutkah Mohamadou Sumareh diberikan peluang?

Bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail menggesa jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe memberi peluang kepada Mohamadou Sumareh untuk membuktikan kemampuannya bersama pasukan kebangsaan di pentas antarabangsa.

Katanya, adalah satu kerugian sekiranya khidmat pemain berusia 23 tahun itu tidak digunakan meskipun sudah mendapat kerakyatan beberapa bulan yang lau.

“Sumareh adalah pemain yang bagus, terutamanya di bahagian sayap di mana dia adalah pemain yang pantas, memiliki kemahiran menggelecek dan boleh memberi masalah kepada pertahanan lawan, kita memang memerlukan pemain seperti ini.

“Memandangkan dia juga sudah mendapat kerakyatan negara ini, tak salah untuk kita mencuba. Sebab kita tidak tahu kemampuannya beraksi di peringkat antarabangsa, kerana tahap permainan antarabangsa berbeza di peringkat kelab,” katanya kepada Berita Harian.

Sumareh sendiri telah mengesahkan kerakyatannya pada April lalu malah teruja untuk mewakili Harimau Malaya selepas hampir enam tahun beraksi di Malaysia.

Pemain Pahang itu yang sudah menetap di negara ini sejak berusia 13 tahun jelas gembira apabila FAM bersedia mempertimbangkan untuk menyerap pemain naturalisasi bagi memperkuatkan skuad kebangsaan yang kini menduduki tangga ke-171 dunia.

Namun pada masa yang sama, Jamal mengingatkan FAM supaya tidak hanya bergantung kepada pemain naturalisasi sehingga mengabaikan aspek pembangunan akar umbi.

“Tapi selama mana kita nak bergantung kepada pemain naturalisasi? Mungkin untuk jangka masa pendek, kita boleh ambil bagi posisi kritikal seperti penyerang. Kita boleh lihat penyerang tempatan kita tenggelam dengan 99 peratus pasukan dalam Liga Malaysia guna penyerang import.

“Pembangunan kita tak selari lagi, kita ada NFDP, kita ada pasukan bawah 19 tahun, bawah 23 tahun, skuad senior tapi semua dengan cara permainan berbeza. Kita memang mahukan pemain muda ini mewakili negara tapi setakat ini, pembangunan kita belum benar-benar berkesan,” katanya.