Malaysia Berita

Tabung Khas Dana Perlis baru kumpul RM30 setakat ini

Situasi yang dihadapi Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) sudah cukup memeritkan, namun apa yang lebih menyedihkan, dua hari selepas Tabung Khas Dana dilancarkan, hanya RM30 sahaja yang terkumpul setakat ini.

Jumlah itu ternyata mengecewakan meskipun PFA dilihat bersungguh-sungguh untuk membangunkan semula pasukan bola sepak negeri itu.

Walaubagaimanapun, pemangku Presiden PFA, Mohd. Abdul Karim Khan tetap mengucapkan terima kasih kepada para penyokong setia Singa Utara yang masih memberikan sokongan untuk menyelamatkan pasukan Perlis.

“Dalam Facebook Perlis FA Official sahaja, kita sudah mempunyai lebih 18,000 pengikut, jika setiap seorang daripada mereka menyumbang RM1 atau RM10 setiap bulan, kita sudah mampu mengumpul RM18,000 atau RM180,000.

“Melihat kepada jumlah itu, ia cukup untuk membantu pembangunan bola sepak negeri ini. Kita mengambil pendekatan untuk bersama penyokong dalam mengembalikan zaman kegemilangan skuad Singa Utara,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Walau bagaimanapun setakat pukul 5 petang semalam, jumlah kutipan yang terkumpul ialah RM30 dan tabung itu akan terus dibuka untuk para penyokong menghulurkan sumbangan.

Tambah Abdul Karim, pihaknya bukan mahu menagih simpati semata-mata, sebaliknya apa yang dilakukan PFA ini adalah untuk masa depan pembangunan bola sepak negeri.

“Sebelum ini, kita ada menjalankan satu kaji selidik secara kasar di Facebook mengenai cadangan untuk membubarkan PFA, tetapi majoriti peminat bola sepak negeri Perlis membantah cadangan terbabit.

“Kita sentiasa komited untuk mencari jalan penyelesaian dalam memastikan imej bola sepak negeri ini kembali ke puncak kegemilangannya seperti dulu,” katanya.