Tersingkir di peringkat kumpulan bukan sesuatu yang diinginkan oleh setiap negara yang menyertai Piala Dunia. Bagaimanapun, tidak semua pemain daripada pasukan itu mempamerkan persembahan yang buruk di Russia 2018.
Contohnya, seperti berikut:
Toni Kroos (Jerman)
Hampir semua pemain dalam skuad Jerman bagi kempen Piala Dunia kali ini mengecewakan, kecuali Toni Kroos. Perancang yang mewakili Real Madrid ini telah menghidupkan peluang Die Mannschaft untuk mara ke pusingan 16 menerusi jaringna pada minit terakhir ketika bertemu Sweden. Dia juga cemerlang di bahagian tengah, menutup kelemahan rakan sepasukannya.
Cho Hyun-woo (Korea Selatan)
Dia bukan pilihan utama Korea Selatan ketika aksi kelayakan, namun Cho muncul bintang utama pasukannya di Russia, terutama sewaktu mencatat kemenangan bersejarah ke atas juara bertahan, Jerman. Walaupun gagal membawa pasukannya ke pusingan kedua, penjaga gol Daegu FC ini tetap cemerlang.
Andre Carillo (Peru)
Peru hampir tidak meninggalkan kesan kepada Piala Dunia pertama yang disertai dalam tempoh 36 tahun terakhir. Bagaimanapun, pemain sayap, Andre Carillo, telah mencuri perhatian apabila pemain berusia 27 tahun yang mewakili Benfica ini menyumbat gol hebat ke gawang Australia, sekaligus memberikan kemenangan buat Los Incas.
Ahmed Musa dan Wilfred Ndidi (Nigeria)
Walaupun tersingkir di peringkat kumpulan Russia 2018, peminat Nigeria berbangga dengan dua perkara, iaitu corak jersi serta perjuangan pemain mereka, terutama Musa dan Ndidi. Kombinasi dua pemain ini telah mempamerkan aksi luar biasa sewaktu berdepan Iceland, memberikan kemenangan yang melonjakkan semangat pasukannya.
Keylor Navas (Costa Rica)
Pemain berusia 31 tahun ini sekali lagi tampil cemerlang dalam penampilan keduanya di Piala Dunia. Penjaga gol yang berjaya bersama Real Madrid ini tidak mampu membawa Costa Rica ke pusingan kedua dan mengulangi prestasi layak ke suku akhir, empat tahun lalu. Namun, dia tetap cemerlang dalam menafikan pelbagai percubaan.
Trezeguet (Mesir)
Menggunakan nama penyerang legenda Perancis, pemain bernama Mahmoud Hassan ini menjadi rebutan kelab-kelab besar selepas Piala Dunia 2018. Mesir gagal meraih sebarang mata di peringkat kumpulan tetapi Trezeguet berjaya menyaingi populariti yang dimiliki Mohamed Salah sebagai pemain terbaik Mesir.