Khabar buruk hadir buat peminat-peminat skuad kebangsaan Mesir. Pemain utama dan sensasi mereka, Mohamed Salah, telah memikirkan untuk bersara daripada arena antarabangsa. Hasrat itu hadir selepas pemain Liverpool itu tidak gemar dengan apa yang berlaku terhadap dirinya di Piala Dunia 2018, ketika ini.
Bagi yang belum tahu, Chechnya menjadi lokasi dimana skuad The Pharaohs berehat serta menjalani latihan sepanjang berada di Russia. Malangnya, kehadiran Salah dan rakan sepasukannya telah digunakan sebaiknya untuk kepentingan politik salah satu pihak berkuasa di sana. Nama individu yang bertanggungjawab terhadap masalah ini adalah Ramzan Kadyrov.
Kadyrov yang merupakan pemimpin Chechnya sejak 2014 sememangnya dikenali sebagai peminat sukan seni mempertahankan diri dan bola sepak. Dua sukan tersebut adalah sukan yang paling digemari di Russia. Kadyrov sering menggunakan sukan sebagai saluran untuk meraih simpati.
Kedatangan Salah ke Chechnya telah memberi harapan baru buat Kadyrov. Bekas pemain AS Roma ini sudah menjadi bintang pada musim ini. Di bawah kendalian Jurgen Klopp, Salah muncul salah seorang penyerang merbahaya di pentas Liga Perdana Inggeris. Dia mengakhiri musim pertamanya dengan catatan penjaring terbanyak liga serta membawa The Reds melayakkan diri ke final Liga Juara-Juara Eropah, sekaligus membolehkannya meraih beberapa anugerah individu.
Salah menjadi salah seorang pemain pilihan dalam kalangan peminat bola sepak, standing dengan bintang lain seperti Cristiano Ronaldo, Lionel Messi, Neymar, dan lain-lain. Namun, dia mempunyai tarikan tersendiri berbanding nama yang disebutkan itu. Suka atau tidak, statusnya sebagai pemain muslim menjadikannya sebagai satu inspirasi buat orang ramai.
Kelibat Salah pastinya telah sampai ke pengetahuan Kadyrov dan dia segera menggunakan kesempatan yang ada. Tidak lama selepas skuad Mesir tiba di Russia, Kadyrov telah mendekati Salah dan berhasrat menemuinya. Kedua-duanya mengambil gambar bersama di hadapan ribuan penyokong Salah.
Bukan sekadar bergambar, Kadyrov juga menjadikan Salah sebagai tetamu kehormat Chechnya. Dia juga memberikan satu pin bergambar bendera Chechnya ketika bertemu dan perkara ini dihebahkan oleh dirinya melalui media social.
Pertemuan dengan Kadyrov nyata memberikan kesan kepada keputusan yang diambil, iaitu mahu menggantung kasut daripada arena antarabangsa. Salah sendiri dikhabarkan telah memberitahu masalah itu kepada Persatuan Bolasepak Mesir dan mereka juga terkejut dengan perkara itu.
Keinginan Salah untuk bersara adalah kerana masalah ini jelas mudah difahami. Bola sepak semestinya harus dijauhkan daripada kaitan politik. Salah hanya ingin bermain bola sepak dan kita sebagai peminat sukan ini juga mahu menyaksikan perlawanan dilangsungkan tanpa wujud sebarang elemen lain.