Piala Dunia 2018 Berita

Pemain Argentina akan memilih sendiri skuad untuk berdepan Nigeria

Setakat ini, penampilan Argentina di Piala Dunia 2018 sememangnya jauh berada di bawah tahap sebenar. Muncul sebagai pasukan gergasi yang menjadi pilihan untuk meraih gelaran juara, La Albiceleste jelas tidak mampu untuk menundukkan pendatang baru di Piala Dunia, Iceland. Mereka hanya mengutip satu mata dalam aksi pertama mereka.

Aksi kedua lebih para. Berdepan Croatia, Argentina tidak mampu beraksi cemerlang sehingga akhirnya dibelasah oleh skuad kendalian Zlatko Dalic dengan keputusan tiga gol tanpa balas. Luka Modric dan rakan sepasukannya ternyata tampil lebih baik berbanding Lionel Messi dan rakan-rakan. Hasilnya, mereka kini bergelut untuk meneruskan kemaraan ke pusingan kedua kejohanan dan kemenangan Nigeria ke atas Iceland memberikan sedikit harapan buat mereka.

Krisis yang melanda bukan hanya berlaku secara luaran tetapi ia melibatkan dalam skuad Argentina. Ketika ini, wujud laporan bahawa pemain-pemain skuad La Albiceleste berdepan masalah dengan pengendali, Jorge Sampaoli, tatkala kemampuan bekas pengurus Chile itu sudah tidak dipandang oleh anak-anak buahnya.

Mereka dikhabarkan tidak lagi menaruh kepercayaan kepada Sampaoli dan berharap agar pengurus itu segera dipecat oleh Persatuan Bolasepak Argentina. Sebagai pengganti, pemain-pemain memilih Jorge Burruchaga, salah seorang pemain yang memenangi Piala Dunia 1985, sebagai pengendali baru mereka.

Keadaan yang menggusarkan itu bukan sekadar sampai ke situ. Ricardo Giusti yang merupakan teman baik Burruchaga, memberitahu Daily Mail bahawa keadaan Argentina lebih parah daripada apa yang dibayangkan. Dia menjelaskan pemain-pemain La Albiceleste akan memilih sendiri pemain untuk diturunkan menjelang aksi berdepan Nigeria..

“Pemain akan memilih sendiri siapa yang membarisi kesebelasan utama Argentina. Jika Sampaoli mahu berada di bangku simpanan, dia boleh melakukanny dan jika tidak, tiada masalah,” kata Giusti.

Laporan itu jelas merugikan Argentina. Mereka hanya mempunyai dua hari untuk memperbaiki persembahan mereka. Menentang Nigeria, Messi dan rakan sepasukan harus mendapatkan mata penuh dan berharap Croatia mampu mengekang laluan Iceland.

Justeru, penampilan Sampaoli bersama Argentina dalam aksi pada Rabu pastinya menimbulkan tandatanya yang cukup besar.