Kempen Piala Dunia 2018 menyaksikan Iran terkeluar daripada saingan setelah mencatatkan keputusan seri 1-1 dalam aksi terakhir Kumpulan B. Lawan mereka, juara Euro 2016, Portugal berjaya mendahului dengan jaringan cantik ‘outer foot’ Ricardo Quaresma pada separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, pemenang Ballon d’Or lima kali, Cristiano Ronaldo dijatuhkan di dalam kotak penalti. Setelah dirujuk VAR, pengadil Enrique Caceres dari Paraguay memberikan sepakan penalti kepada Portugal. Seperti biasa, Cristiano Ronaldo tampil untuk menyudahkan sepakan tersebut.
Boom! Alireza Beiranvand, penjaga gol muda Iran berjaya menafikan sepakan tersebut. Tergamam seketika penyerang prolifik Real Madrid itu tatkala jaringan itu mampu mencerahkan peluang mereka memimpin Kumpulan B.
Alireza Beiranvand boleh mendadik dada dan berkata kepada seluruh dunia, “Saya pernah selamatkan sepakan penalti oleh Cristiano Ronaldo”. Manakala, laman twitter Squawka Football menyatakan bahawa Alireza Beiranvand merupakan penjaga gol pertama yang menyelamatkan sepakan penalti daripada pemain Portugal dalam kejohanan Piala Dunia. (tidak termasuk penentuan sepakan penalti)
Alireza Beiranvand is the first goalkeeper to save a World Cup penalty from a Portuguese player in the tournament's history (excl. shootouts).
Cristiano Ronaldo the victim. 👐 pic.twitter.com/BzSDCXSQ8D
— Squawka (@Squawka) June 25, 2018
Namun disebalik kehebatan beliau menafikan sepakan penalti pemain handalan tersebut, terselit suatu kisah yang boleh memberikan inspirasi kepada kita semua.
Alireza Beiranvand lari dari rumahnya ketika masih remaja untuk mengejar cita-citanya menjadi pemain bola sepak professional. Oleh kerana beliau lari dari rumah, Alireza Beiranvand pernah menjadi gelandangan di kota Tehran kerana tidak mempunyai rumah untuk berteduh.
Beliau juga pernah bekerja di kilang pakaian, kedai basuh kereta dan juga tukang sapu untuk menampung kehidupan. Malah pernah bekerja di sebuah kedai piza sebelum berhenti.
Ketika bermain bersama kelab Naft Tehran, beliau pernah digugurkan kerana berlatih dengan pasukan lain iaitu Homa. Malah beliau juga mendapat kecederaan ketika berlatih disitu. Dia terus membawa diri ke pasukan Homa, namun pengurus Homa tidak berminat untuk menandatanganinya. Ketika itu, beliau merasakan cita-citanya semakin suram.
Beliau bernasib baik kerana pengurus Naft Tehran B23 memanggilnya kembali kerana beliau tidak menandatangani kontrak dengan pasukan lain. Semenjak itu, Alireza Beiranvand mula bersinar. Terpilih untuk mewakili skuad Iran B23 seterusnya menjadi penjaga gol utama.
Tahun 2015, Alireza berjaya mewakili skuad senior Iran dan menjadi penjaga gol utama negaranya. Dengan 12 ‘clean sheet’ ketika kelayakan Piala Dunia, beliau membantu Team Melli ke Rusia dengan bergaya.
Dengan aksinya ketika menentang Portugal dan ditambah pula dengan berjaya menyelamatkan sepakan penalti Cristiano Ronaldo dalam kejohanan Piala Dunia, Alireza Beiranvand berpeluang untuk merantau ke Eropah dan bermain untuk kelab disana. Sesungguhnya, walau apa pun yang terjadi, Alireza Beiranvand menjadi inspirasi kita semua untuk tidak berputus asa dengan cita-cita yang kita impikan.