Piala Dunia 2018

Carlos Queiroz bengang dengan FIFA dan VAR kerana insiden Ronaldo

Biarpun perlawanan di antara Portugal dan Iran sudah berakhir, tetapi nampaknya masih ada perkara berbangkit. Bak kata pepatah, “Rumah dah siap, pahat masih berbunyi.”

Ketua jurulatih Iran, Carlos Queiroz telah mengkritik FIFA dan sistem VAR selepas pasukannya tidak layak ke peringkat seterusnya kerana sekadar seri 1-1 ketika bertemu Portugal semalam.

“Anda menghentikan perlawanan kerana VAR, dan ada insiden menyiku. Kekasaran sebegitu adalah kesalahan kad merah mengikut peraturan, dan mengikut peraturan, tidak ada disebut jika anda Messi atau Ronaldo.”

Dalam insiden tersebut, Cristiano Ronaldo telah menyiku pemain Iran, Morteza Pouraliganji tetapi sekadar dilayangkan kad kuning. Queiroz merasakan, jika Ronaldo dibuang padang, ada kemungkinan Iran mampu menang dalam perlawanan tersebut.

Queiroz turut mencadangkan kepada Presiden FIFA, Gianni Infantino, supaya jurulatih dan penyokong boleh mendengar komunikasi di antara pengadil dan petugas video, sama seperti dalam sukan Ragbi.

“Kita tidak tahu siapa (buat keputusan), sama ada pengadil atau petugas video. Permainan ini milik masyarakat, bukan beberapa orang di belakang tabir. Cadangan saya, Tuan Infantino, mereka perlu mengakui kesilapan mereka dan menyatakan: ‘ Maaf, VAR tidak berhasil dan kita perlu hentikannya,’ atau perlu ada komunikasi jelas seperti dalam sukan ragbi, di mana semua orang tahu apa yang sedang berlaku.”

Dalam perlawanan itu, tiga kali VAR digunakan. Pertama ia digunakan ketika pengadil menghadiahkan penalti kepada Portugal, kedua, ketika insiden kekasaran Ronaldo dan ketiga, ketika pengadil menghadiahkan penalti kepada Iran.

VAR terus menjadi perdebatan dalam Piala Dunia kali ini. Ada yang menyatakan ia membunuh bolasepak, dan ada juga yang menyokong kerana ia memberikan keadilan kepada semua pasukan.