Luar Negara Piala Dunia 2018

Saya takkan bersara selagi tak menang Piala Dunia, kata Messi

Lionel Messi menegaskan beliau tidak akan bersara selagi tidak memenangi Piala Dunia dalam kariernya.

Pandangannya disuarakan selepas ramai penyokong Argentina kecewa dengan prestasi pasukan kebangsaan malah ada yang menyalahkan Messi di atas kegagalan meraih sebarang kemenangan setakat ini.

Walaubagaimanapun, tekanan yang dihadapi Messi menerima simpati dari pelbagai pihak lagi-lagi selepas melihat beliau mengurut-urut kepalanya ketika tewas kepada Croatia baru-baru ini.

Katanya, beliau tidak sanggup lagi untuk melakukan keputusan yang pernah dilakukannya dua tahun lalu selagi mempunyai peluang untuk merangkul piala paling berprestij itu.

Messi menganggap Piala Dunia adalah obsesinya terutamanya selepas sudah memenangi pelbagai jenis kejohanan sepanjang kariernya.

“Trofi Piala Dunia memberi makna yang besar buat saya dan juga Argentina kerana ia istimewa.

“Saya sentiasa mengimpikan untuk merangkul Piala Dunia, ada perasaan yang istimewa selepas memenanginya.

“Bulu roma saya berdiri dengan hanya memikirkan mengenainya. Ia akan menggembirakan jutaan penyokong Argentina di dunia.

“Jadi kami tidak boleh berputus asa untuk menggapai impian ini. Saya sudah memenangi pelbagai trofi namun saya tetap bercita-cita tinggi.

“Saya tidak mahu bersara tanpa menjadi juara dunia bersama pasukan kebangsaan saya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Argentina sekadar seri menentang Iceland sebelum tewas mengejut kepada Croatia 0-3 memaksa mereka untuk menewaskan Nigeria di Saint Petersburg, Selasa ini untuk layak ke pusingan kalah mati. -Agensi