Luar Negara Piala Dunia 2018

Jangan kena kad merah lagi, kata jurulatih Colombia

Jurulatih Colombia, Jose Pekerman tidak mahu pasukannya berhadapan dengan situasi bermain 10 orang pemain lagi pada perlawanan menentang Poland malam ini.

Colombia terpaksa beraksi dengan 10 pemain menentang Jepun dalam perlawanan pembukaan gara-gara layangan kad merah kepada Carlos Sanchez pada minit ke-3.

Disebabkan itu jugalah Colombia menghadapi kesukaran untuk beraksi dengan baik dan akhirnya tewas kepada Jepun.

Kesilapan tersebut menyebabkan Pekerman mengeluarkan peringatan agar insiden itu tidak berulang lagi hari ini.

“Kami perlu 11 pemain menentang 11 pemain, ia adalah penting,” katanya.

Pada masa yang sama, Pekerman turut memberi bayangan bahawa James Rodriguez akan diturunkan dalam kesebelasan utama hari ini bagi memastikan pasukannya mempunyai peluang untuk layak ke pusingan kalah mati.

James mengalami kecederaan betis dan hanya dimasukkan sebagai pemain gantian pada lewat permainan ketika Colombia dikejutkan dengan kekalahan 1-2 kepada Jepun.

Empat tahun selepas beliau muncul penjaring terbanyak dengan enam gol untuk membantu pasukan Amerika Selatan itu layak ke suku akhir di Brazil, Colombia amat menagih khidmat bintang Bayern Munich itu untuk memburu kemenangan pertama dalam Piala Dunia kali ini.

Pekerman bagaimanapun enggan mendedahkan secara terbuka mengenai kesebelasan utamanya buat masa ini malah tidak mahu mengesahkan sama ada Rodriguez akan diturunkan malam ini.

“James dalam keadaan yang sangat baik, itu yang kami saksikan dalam sesi latihan minggu ini.

“Aksi sebagai pemain gantian sebelum ini memberikannya sedikit keyakinan. Kami perlu membuat beberapa penilaian namun beliau sudah berusaha keras dan kami berharap beliau akan pulih 100 peratus,” katanya.

Jika Rodriguez beraksi, ia akan menguatkan bahagian serangan Colombia selepas Radamel Falcao buat masa ini masih gagal menyerlah.

Pekerman juga mengakui bahawa mana-mana pasukan yang menjaringkan gol awal memiliki kelebihan untuk memenangi perlawanan terutamanya di Piala Dunia. -AFP