Santai Piala Dunia 2018

Kejutkan Vikings – Tujuh perkara tentang Ahmed Musa yang perlu anda tahu

Ahmed Musa menjadi hero Nigeria apabila menjaringkan dua gol cantik menentang Iceland dalam aksi Kumpulan D di Kaliningrad Stadium. Satu gol ‘volley’ kencang pada minit ke-49 setelah menyambut hantaran Victor Moses. Kemudiannya melakukan larian pantas dari kiri padang dan memasuki kotak penalti, mengelecek Hannes Halldorsson sebelum melepaskan rembatan padu melepasi dua pertahanan Iceland.

Pada aksi sulung skuad Super Eagles menentang Croatia, Ahmed Musa hanya dimasukkan pada minit ke-62 menggantikan Alex Iwobi. Namun pada aksi kedua Nigeria, ketua jurulatih Gernot Rohr meletakkan beliau dalam kesebelasan utama.

Ahmed Musa yang ditugaskan sebagai penyerang bersama-sama Kelechi Iheancho pantas membalas kepercayaan ketua jurulatih dengan memberikan dua gol seterusnya mencerahkan peluang Nigeria untuk mara ke saingan kalah mati.

Penyerang berjersi nombor 7 ini merupakan pemain Leicester City yang dipinjamkan ke kelab Rusia, CSKA Moscow. Berumur 25 tahun dan telah melakukan 6 penampilan di Piala Dunia serta menjaringkan 4 gol di dua edisi Piala Dunia.

Berikut adalah tujuh perkara yang perlu anda tahu tentang Ahmed Musa:

Profil peribadi

Nama Penuh: Ahmed Musa

Umur: 25 Tahun

Tarikh Lahir: 14 Oktober 1992

Tempat Lahir: Jos, Nigeria

Tinggi: 1.70m

Posisi: Penyerang

Kelab: CSKA Moscow (dipinjamkan oleh Leicester City)

Debut Super Eagles

Kali pertama Ahmed Musa berjaya meloloskan diri ke dalam skuad senior Nigeria pada 5 September 2010. Ketika itu Nigeria bertemu Madagascar dalam saingan kelayakan Piala Negara-Negara Afrika (Africa Cup of Nations) di Abuja National Stadium. Beliau masuk pada minit ke-75 menggantikan John Obi Mikel. Umur beliau ketika itu adalah 17 tahun.

Gol sulung untuk Nigeria

Mencetak gol pertama peribadi bersama skuad kebangsaan Nigeria pada 16 Jun 2012. Ketika itu Nigeria sedang berentap dengan Rwanda di Esuene Stadium. Beliau menjaringkan gol pada minit ke-56 sebelum dikeluarkan pada minit ke-67 dan digantikan dengan Raheem Lawal.

Juara Afrika B20 (2011)

Ahmed Musa merupakan skuad Nigeria B20 yang beraksi dalam kejohanan Piala Negara-Negara Afrika B20 pada tahun 2011. Disertai oleh 8 pasukan yang terdiri daripada Cameroon, Mesir, Gambia, Ghana, Lesotho, Mali dan Afrika Selatan sebagai hos. Diletakkan dalam Kumpulan B bersama-sama Cameroon, Gambia dan Ghana, Nigeria berjaya menjadi naib juara kumpulan dengan 6 mata. Perlawanan akhir menemukan mereka dengan Cameroon dan mereka menang dengan skor 3-2.

Juara Piala Negara-Negara Afrika 2013

Antara kejayaan manis Ahmed Musa menyarung jersi Super Eagles pastinya kejayaan beliau dan rakan-rakan menjulang piala ini. Kejohanan ini disertai oleh 16 pasukan dari benua Afrika. Nigeria diundi bersama-sama Burkina Faso, Zambia dan Ethiopia dalam Kumpulan C. Nigeria berjaya mara ke peringkat kalah mati setelah menghuni tangga kedua dengan 5 mata. Perlawanan akhir menemukan mereka dengan Burkina Faso. Nigeria menang 1-0 ke atas Burkina Faso.

Penjaring terbanyak Piala Rusia 2012/13

Ketika bermain mewakili CSKA Moscow sebelum berpindah ke Leicester City, Ahmed Musa pernah mencipta nama sebagai penjaring terbanyak kejohanan ini. Piala Rusia adalah sebuah kejohanan bola sepak kalah mati. Musim 2012/13 menyaksikan kelabnya menjadi juara dan Ahmed Musa menjadi ‘top scorer’ dengan menjaringkan 4 gol. Pemenang bagi pertandingan ini mendapat slot automatik ke Liga Europa (Europa League) musim berikutnya.

Hatrik Liga Premier Rusia

Pemain Afrika ini berjaya memenangi Liga Premier Rusia sebanyak 3 kali bersama kelab CSKA Moscow. Ahmed Musa berjaya menjuarainya pada musim 2012/13, 2013/14 dan 2015/16. Walaubagaimanapun, Ahmed Musa tidak berjaya memenanginya pada musim ini setelah dipinjamkan oleh Leicester City kerana tewas kepada Lokomotiv Moscow dengan perbezaan 2 mata.