Kelmarin, Iran tewas tipis 1-0 di tangan Sepanyol. Kekalahan itu perit untuk diterima kerana mereka dilihat lebih menguasai pertemuan dengan juara Piala Dunia 2010 itu. Malah, mereka menjaringkan gol menerusi Saeid Ezatolahi tetapi dinafikan pengadil berdasarkan Video Bantuan Pengadil (VAR).
Bagaimanapun, kekalahan itu disambut dengan penghargaan buat Iran daripada pelbagai pihak. Ezatolahi juga menjadi sebutan dalam aksi tersebut kerana statistik hebat yang dipamerkan. Pemain muda berusia 21 tahun ini mencatatkan 78% gerakan sempurna, tiga halangan dan lima bentesan, termasuk satu aksi menafikan peluang Sepanyol di depan gawang.
Penampilan pemain tengah bertahan bertubuh tegap ini kembali menghadirkan jolokan ‘Pogba dari Persia’ yang pernah diletakkan kepadanya. Ezatolahi sememangnya dianggap budak ajaib terbaik yang pernah dihasilkan Iran dalam dekad terakhir. Lebih-lebih lagi, dia pernah menimba ilmu bersama skuad muda Atletico Madrid.
Bakat Ezatolahi mula dihidu akademi Malavan. Berkat aksi bersama akademi itu, dia meraih debut professional pada tahun 2012 dan menjadi pemain termuda dalam saingan Liga Pro Iran pada usia 16 tahun pada 2012. Dua tahun kemudian, dia dinobatkan sebagai salah seorang pemain paling berbakat di negaranya sehingga diberikan jolokan ‘Persian Pogba’ (Pogba dari Persia).
Aksinya di Malavan telah menarik salah satu kelab besar LaLiga, Atletico Madrid. Setelah tampil berkesan ketika Piala Dunia B-17 pada Oktober 2013, pelbagai kelab Eropah menyatakan minat terhadap anak muda yang lahir di Bandar e-Anzali ini. Dari Besiktas (Turki) sehingga Lugano dan Lausanne Sport (Switzerland) dikatakan berminat dengannya.
Pada bulan Disember 2013, Ezatolahi dilaporkan akan menyertai kelab Serie A Brazil, Atletico Paranaense. Kelab Russia, Rubin Kazan, juga berminat dengannya dan dikatakan telah menerima surat tawaran. Namun, Atletico Madrid yang berjaya mendapatkannya.
Pada Ogos 2014, Ezatolahi akhirnya menandatangani kontrak setahun bersama Atletico. Dia memiliki pilihan untuk melanjutkan kontrak selama empat tahun jika tampil baik pada musim 2014/15. Malangnya, dia hanya diberi peluang bersama skuad muda.
Ezatolahi beraksi untuk skuad Juvenil (B-17) untuk Atletico yang bersaing di Division De Honor Juvenil De Futbol dan Liga Belia UEFA. Walaupun berjaya mencatat beberapa jaringan dalam kedua-dua pentas itu, pengendali skuad utama, Diego Simeone, tampak tidak berminat untuk membawanya ke pasukan utama.
Atletico Madrid B sebenarnya menawarkan kontrak buat Ezatolahi tetapi pemain itu memilih untuk berhijrah ke Russia dan bergabung bersama seniornya dalam pasukan kebangsaan, Sardar Azmoun. Lalu, dia berpindah ke kelab Liga Perdana Russia, FC Rostov, dengan kontrak empat tahun.
Bagaimanapun, akibat masalah visa, Ezatolahi tidak dapat beraksi sehingga Januari 2016. Dia akhirnya meraih debut pertama buat Rostov pada mei 2016 ketika menewaskan FC Dynamo Moscow 3-1. Namun, mungkin disebabkan terlalu muda, pemain ini dipinjamkan ke satu lagi kelab Russia, Anzhi Makhachkala, pada Februari 2017.
Kejayaan mengelakkan Anzhi daripada diturunkan divisyen masih belum membolehkan Ezatolahi mendapat tempat dalam skuad utama Rostov. Dia tidak menyerah kalah dan terus berusaha menjadi pemain regular di Eropah. Ezatolahi akhirnya dipinjamkan ke FC Amkar Perm sehingga akhir musim 2017/18.
Walaupun masih belum menikmati kejayaan yang banyak dan mewakili kelab besar, harus diingat bahawa Ezatolahi baru memasuki usia 22 tahun pada September nanti. Penjaring gol muda dalam sejarah skuad kebangsaan Iran ini (19 tahun 42 hari pada November 2015) dijamin akan menjadi buruan kelab-kelab Eropah selepas tamat saingan Piala Dunia di Russia.