Piala Dunia 2018

Tujuh perkara tentang skuad Iran yang hampir mengikat Sepanyol

Aksi kedua Kumpulan B telah melabuhkan tirainya. Pasukan Portugal berjaya menundukkan Maghribi menerusi gol awal Cristiano Ronaldo. Manakala juara Piala Dunia 2010, Sepanyol berjaya mengalahkan wakil asia, Iran menerusi gol tunggal Diego Costa.

Walaubagaimanapun, sepanjang 90 minit aksi antara Iran dan Sepanyol, Iran dilihat telah memberikan satu tentangan yang hebat kepada skuad La Roja. Sepanyol terpaksa menunggu sehingga minit ke-54 untuk memecahkan benteng kebal pasukan Timur Tengah ini.

Iran juga beberapa kali bertindak untuk melancarkan serangan dan berjaya mengancam gawang yang dijaga rapi David De Gea. Namun mereka terpaksa akur dengan kekalahan 0-1 kepada Sepanyol.

Berikut adalah beberapa perkara tentang skuad kebangsaan Iran:

Ketua Jurulatih Carlos Queiroz

Nama sebenarnya ialah Carlos Manuel Brito Leal Queiroz dilahirkan di Nampula,Mozambique. Berumur 65 tahun dan mempunyai kerakyatan dua negara iaitu Portugal dan Mozambique. Pernah menjadi penolong jurulatih kepada Sir Alex Ferguson di Manchester United dan juga ketua jurulatih skuad kebangsaan Portugal sekitar tahun 2008 hingga 2010. Dilantik sebagai ketua jurulatih Iran bermula 2011. Formasi kegemarannya adalah 4-2-3-1.

Pemain Termuda

Ketika menentang Sepanyol, S. Ezatolahi telah menendang masuk bola melepasi David De Gea untuk memberikan gol penyamaan kepada Iran. Namun pengadil merujuk kepada VAR dan membatalkan jaringan tersebut kerana kedudukan beliau yang ofsaid. S. Ezatolahi merupakan pemain termuda dalam skuad Piala Dunia 2018 Iran dengan umur 21 tahun. Pemain berjersi nombor 6 ini bermain di kelab Amkar Perm (pinjaman) dalam Premier Liga (Rusia).

Pemain Tertua

Pemain berjersi nombor 7, Masoud Shojaei adalah pemain paling tua dalam skuad kebangsaan Iran. Diturunkan ketika menentang Maghribi pada aksi pertama Iran dalam Kumpulan B. Berumur 34 tahun dan bermain sebagai pemain tengah menyerang (Attacking Midfield). Ketika ini beliau bermain di kelab AEK Athens dalam Super League (Greece).

Sardar Azmoun

Berumur 23 tahun dan bermain sebagai penyerang. Beliau dikatakan sebagai penyambung legasi, ikon mesin gol skuad kebangsaan Iran, Ali Daei. Sehingga kini, Sardar telah membuat penampilan sebanyak 33 kali dan telah menjaringkan 23 gol untuk Team Melli. Di peringkat kelab, beliau bermain bersama Rubin Kazan dalam Premier Liga (Rusia). Umur yang masih muda dan pengalaman bermain yang sedia ada, beliau mampu menjadi ikon bola sepak Iran yang seterusnya.

Kelayakan Piala Dunia 2018

Semasa kelayakan Piala Dunia 2018, pasukan Iran telah merekodkan 0 kekalahan. Semasa pusingan kelayakan kedua, dalam Kumpulan D, Iran berjaya mengumpul 20 mata dengan 6 kemenangan dan 2 seri. Manakala semasa pusingan kelayakan ketiga, dalam Kumpulan A, Iran mengumpul 22 mata dengan 6 kemenangan dan 4 seri.

Kali kelima menyertai Piala Dunia

Piala Dunia 2018 adalah kejohanan Piala Dunia kali ke-5 buat pasukan dengan jolokan Team Melli ini. Pertama kali mereka berjaya ke kejohanan berprestij ini adalah pada tahun 1978 di Argentina. Kemudiaannya mereka menyertai Piala Dunia 1998 Perancis, Piala Dunia 2006 Jerman dan Piala Dunia 2014 Brazil.

Prestasi di Piala Dunia

Setakat lima kejohanan yang disertai skuad negara Timur Tengah ini, mereka tidak pernah lagi menjejakkan diri dalam saingan kalah mati. Berdasarkan empat kempen Piala Dunia terdahulu, mereka mencatatkan satu kemenangan, tiga seri dan lapan kekalahan. Manakala dua perlawanan di Piala Dunia 2018 mereka telah merekodkan satu kemenangan ketika menentang Maghribi dan satu kekalahan di tangan Sepanyol.