Luar Negara Piala Dunia 2018

Brazil sekadar seri, ini reaksi Tite

Jurulatih Brazil, Tite langsung tidak gembira melihatkan pasukannya sekadar mencatatkan keputusan seri 1-1 menentang Switzerland dalam aksi pembukaan Kumpulan E awal pagi tadi.

Pada hari sama yang menyaksikan Jerman dikejutkan dengan kekalahan 1-0 di tangan Mexico, Brazil pula mendominasi separuh masa pertama malah mengejutkan ramai pihak dengan jaringan cantik Philippe Coutinho.

Namun Brazil dihukum dalam situasi bola mati apabila Steven Zuber menjaringkan gol penyamaan hasil daripada sepakan sudut Xherdan Shaqiri, hanya lima minit separuh masa kedua.

Kegagalan mencari sebarang gol kemenangan sehingga wisel penamat memberi tekanan yang lebih tinggi kepada Brazil untuk meraih kemenangan ke atas Costa Rica pula selepas ini.

“Saya tidak gembira dengan keputusan ini. Penyudah kami tidak begitu bagus. Kami mempunyai 20 peluang tetapi terlalu banyak percubaan yang tersasar,” kata Tite.

“Kami seharusnya menjadikan penjaga gol mereka bekerja lebih banyak. Saya menyalahkan tekanan, debaran perlawanan pertama.

“Daripada sudut jaringan mereka, saya berpuas hati. Kami mengharunginya dengan baik. Kemudian mereka bangkit dalam permainan dan ia mengambil masa 10 minit untuk kami kembali mendapatkan rentak semula. Apapun sekali lagi, ia tidak bagus.”

Sementara itu jurulatih Switzerland, Vladimir Petkovic pula memberi pujian atas usaha para pemainnya yang bertungkus-lumus menyekat sebarang kemaraan Brazil.

“Saya berbangga dengan pemain. Saya berharap ini membawa makna yang kami benar-benar serius dalam Piala Dunia.” – AFP