Luar Negara Eropah

Ditanya mengenai Liverpool, ini reaksi Xherdan Shaqiri

Xherdan Shaqiri secara tidak sengaja mengakui Anfield merupakan arena bola sepak yang hebat tanpa menyedari spekulasi mengenai Liverpool yang sedang hangat diperkatakan ketika ini.

Ketika wartawan akhbar Blick menanyakan Shaqiri mengenai Liverpool, beliau hanya membalasnya dengan gelak tawa.

“Anfield sememangnya tempat yang hebat, memang hebat.

“Kenapa kita bercakap pasal Liverpool?” tanya beliau.

Apabila diberitahu mengenai prospek perpindahannya, beliau dengan pantas mengelak daripada mengulas mengenainya.

“Saya tak boleh bagi tahu apa-apa setakat ini. Yang saya tahu ejen saya yang sibuk menguruskan mengenainya.

“Saya hanya fokus kepada Piala Dunia sahaja ketika ini,” katanya.

Walaubagaimanapun, beliau sebelum ini telah pun mengesahkan akan meninggalkan Stoke City selepas kelabnya tersingkir dari Liga Perdana Inggeris.

Pemain sayap Switzerland itu akan ke Russia bersama pasukannya minggu ini bagi pertarungan maut Kumpulan E menentang juara lima kali Brazil, Costa Rica dan Serbia.

Selepas beraksi di Bayern Munich dan Inter, beliau tidak menolak kemungkinan untuk ke Jerman mahupun Itali tetapi beliau percaya England merupakan negara yang cukup sesuai dengannya.

Selain Liverpool, kelab-kelab seperti Tottenham dan Everton juga berminat bagi mendapatkan Shaqiri yang mempunyai klausa pelepasan sebanyak £13.5 juta pound.

Shaqiri menjaringkan lapan gol dan tujuh bantuan gol untuk Stoke musim lepas namun tetap tidak dapat menyelamatkan kelabnya daripada jatuh ke Liga Championship.