Luar Negara Piala Dunia 2018

Senarai pemain yang pernah mewakili dua negara berbeza

Kadangkala, beberapa pemain dapat memiliki dua atau lebih kewarganegaraan susulan keturunan yang dimiliki mereka. Pemain bola sepak juga layak mendapatkan passport kedua jika sudah lama beraksi dalam sesebuah negara bagi tempoh yang lama.

Berikut adalah senarai beberapa pemain yang pernah mewakili dua negara berbeza

Mario Fernandes (Brazil ke Russia)

Bek kanan CSKA Moscow ini pernah menolak panggilan skuad Brazil sekali, sebelum akhirnya melakukan penampilan pertama buat pasukan Samba pada 2014. Selepas menerima kerakyatan Russia, Mario Fernandes mengubah haluan dan kini sedang mewakili Rusia di pentas Piala Dunia 2018

Nacer Chadli (Maghribi ke Belgium)

Lahir di Liege, Belgium, Chaadli pernah sekali mewakili Maghribi dalam aksi persahabatan bertemu Ireland pada 2010. Dia membuat keputusan untuk mewakili negara kelahirannya dan beraksi di Piala Dunia 2014 serta Piala Dunia 2018.

Neven Subotic (Amerika Syarikat ke Serbia)

Bekas bek Borussia Dortmund ini menghabiskan masa mudanya bersama skuad Amerika Syarikat. Subotic mempunyai beberapa alasan untuknya memilih skuad senior Serbia berbanding Amerika, salah satunya kerana tidak dipilih ketika Piala Dunia B-20 pada 2007 oleh pengendali ketika itu.

Faouzi Ghoulam (Perancis ke Algeria)

Kebanyakan pemain yang berketurunan Afrika akan beraksi buat Les Bleus tetapi tidak bagi Ghoulam. Bek kiri Napoli ini pernah mewakili Perancis ketika muda, namun dia memilih untuk bersama Algeria dan menjadi salah satu pemain yang memperkuatkan skuad itu di Piala Dunia 2014.

Diego Costa (Brazil ke Sepanyol)

Pernah mewakili Brazil tetapi Costa membuat keputusan untuk menukar kewarganegaraan kepada Sepanyol. Keputusan itu dikritik ramai, terutamanya pengendali Brazil ketika itu, Luiz Felipe Scolari. Hasilnya, cemuhan diberikan penonton tuan rumah sewaktu Piala Dunia 2014.

Kevin-Prince Boateng (Jerman ke Ghana)

Sama seperti adiknya, Jerome, Kevin-Prince Boateng menghabiskan masa mudanya bersama Jerman. Sukar mendapat perhatian, dia memutuskan untuk mewakili negara kelahiran ayahnya, Ghana, dan menentang adiknya dua kali di Piala Dunia.

Thiago Motta (Brazil ke Itali)

Thiago Motta adalah pemain dari Brazil yang menukar kewarganegaraan. Dia pernah menyarung jersi skuad senior Selecao dalam dua perlawanan, namun Motta membuat keputusan untuk mewakili Itali pada usia 32 tahun dan menjadi salah seorang pemain yang beraksi buat Azzurri di Piala Dunia 2014.