Piala Dunia 2018 Berita

Kekalahan besar yang pernah dialami pasukan-pasukan Asia dalam sejarah Piala Dunia

Seluruh dunia dikejutkan dengan aksi Arab Saudi dalam perlawanan pembuka tirai Piala Dunia 2018 malam semalam selepas mereka tewas 0-5 di tangan pasukan tuan rumah, Rusia.

Yang lebih mengejutkan adalah pasukan Rusia ini mengalami kemarau kemenangan sejak Oktober 2017, sebelum turun berdepan Arab Saudi, tetapi mereka mengawal tempo perlawanan dan banyak melancarkan serangan bertubi-tubi sepanjang 90 minit.

Walaupun ramai yang terkejut melihat skor perlawanan tersebut, hakikatnya adalah itu bukan kali pertama sebuah pasukan Asia dibelasah dengan mudah di pentas Piala Dunia:

Dutch East Indies (Indonesia) 0-6 Hungary (Piala Dunia 1938)

Indonesia sebenarnya pernah membuat satu penampilan di pentas Piala Dunia, namun mereka tampil beraksi di Piala Dunia 1938 dengan nama Dutch East Indies, ketika masih berada di bawah penjajahan Belanda. Dalam kejohanan tersebut, Indonesia ditewaskan 0-6 oleh skuad Hungary yang dibintangi Gyula Zsengellér. Beliau meledak dua gol dalam perlawanan itu.

Korea Selatan 0-9 Hungary (Piala Dunia 1954)

1954 merupakan tahun yang bersejarah dan juga menyakitkan hati bagi penyokong Korea Selatan. Pasukan mereka membuat 'debut' di pentas Piala Dunia tahun itu, namun diayamkan oleh skuad Hungary dalam perlawanan pertama, di mana pemain lagenda, Ferench Puskas tampil dengan aksi yang cukup menakjubkan.

Korea Selatan 0-7 Turki (Piala Dunia 1954)

Tiga hari selepas diayamkan oleh Hungary, skuad Korea Selatan membolos tujuh gol ketiga menentang Turki. Secara keseluruhan, Korea Selatan disingkirkan pada peringkat kumpulan, selepas gagal menjaringkan sebarang gol dan membolos 16 gol dalam dua perlawanan.

UAE 1-5 Jerman Barat (Piala Dunia 1990)

UAE membuat penampilan pertama di Piala Dunia pada tahun 1990 dan diberi dugaan yang cukup hebat oleh tiga pasukan yang berada dalam kumpulan yang sama dengan mereka. Selepas tewas 0-2 menentang Colombia, UAE tumpas 1-4 menentang Hungary sebelum membolos lima gol apabila berdepan dengan Jerman Barat dalam perlawanan terakhir.

Korea Selatan 0-5 Belanda (Piala Dunia 1998)

1998 merupakan tahun yang kontroversial bagi Korea Selatan. Selepas tewas menentang Mexico dalam perlawanan pertama, skuad Taeguk Warriors dibuli oleh Belanda dalam perlawanan kedua, di mana mereka kalah 0-5. Pengurus pasukan, Cha Bum-kun dipecat sejurus selepas tamat perlawanan tersebut, dan digantikan oleh Kim Pyung-seok untuk perlawanan terakhir menentang Belgium.

Arab Saudi 0-8 Jerman (Piala Dunia 2002)

https://www.youtube.com/watch?v=NHb_ITy04eg

Malam semalam bukan kali pertama Arab Saudi mengalami kekalahan besar di Piala Dunia. Pada tahun 2002, pasukan Green Falcons ditewaskan dengan mudah oleh Jerman, yang akhirnya mara ke peringkat final dalam kejohanan tersebut. Miroslav Klose meledak tiga gol untuk membantu Die Mannschaft meraih kemenangan 8-0 ke atas Arab Saudi.

Korea Utara 0-7 Portugal (Piala Dunia 2010)

Meskipun tampil dengan aksi cemerlang apabila menentang Brazil dalam perlawanan pertama (hanya tewas 2-1), Korea Utara seolah-oleh dimainkan oleh pasukan Portugal dalam perlawanan kedua. Cristiano Ronaldo menjaringkan gol ketujuh bagi pasukan Carlos Quieroz namun Tiago muncul hero mereka dengan dua gol dan persembahan yang mantap malam itu.