Malaysia Liga Super Malaysia

Annuar Musa gesa KAFA rehatkan Fajr Ibrahim

Selepas Kelantan tewas sekali lagi dan kali ini dibelasah 4-0 kepada Selangor, bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa menggesa ketua jurulatih, Fajr Ibrahim supaya direhatkan serta-merta.

Beliau mempersoalkan bagaimana Fajr boleh menurunkan pemain yang masih mentah sedangkan pemain berpengalaman dipinggirkan begitu sahaja.

“Melihat kepada prestasi pasukan, rasanya ketua jurulatih pasukan Kelantan sudah boleh diminta berehat. Secara keseluruhan, prestasi semalam bukan lagi The Red Warriors.

“Pemain tempatan yang ada sangat rendah tahapnya dan tiada jeneral dalam pasukan. Saya hairan macam mana jurulatih boleh turunkan pasukan seperti ini sedangkan pemain berpengalaman kita simpan di peti sejuk dan ada yang dijual. Saya nampak usaha membina semula pasukan amat sukar,” katanya kepada Stadium Astro.

Malah Annuar juga mempersoalkan KAFA yang tidak memainkan peranannya untuk membawa masuk pemain yang berkualiti dalam jendela perpindahan kedua yang akan berakhir pada hari ini.

“Saya hairan kenapa pintu perpindahan kedua tidak diguna untuk perbaiki pasukan dengan membawa import yang berkualiti. Mengapa Dong Do-hyun dan Gomis hilang? Piya di mana?

“Segera bawa masuk import ASEAN yang bagus. Seorang penyerang dan pemain tengah yang berkualiti. Ini boleh mengubah keadaan. Kurangkanlah konflik dalaman dan urus pasukan secara profesional. Masih belum terlambat,” katanya.

Kekalahan keempat berturut-turut dalam saingan Liga Super menyebabkan peminat Kelantan semakin hilang sabar dan mendesak Presiden KAFA, Bibi Ramjani IIias Khan, melakukan sesuatu supaya Kelantan tidak tersingkir ke saingan Liga Perdana, musim depan.