Malaysia Liga Super Malaysia

Jurulatih Melaka terkejut pasukannya tewaskan Kedah

Ketua jurulatih Melaka United, E. Elavarasan tidak menyangka sama sekali apabila melihat pasukannya berjaya menundukkan Kedah 2-0 di laman mereka sendiri, malam semalam.

Katanya, pemain bermain dengan begitu baik dan mengikut taktikal yang dirancangkan sehingga menjaringkan satu gol pada separuh masa pertama yang memberikan kelebihan kepada Melaka.

“Perlawanan ini saya pun tidak sangka akan dapat 2-0, saya rasa pemain tahu apa yang paling penting untuk kita sekurang-kurangnya adalah dapat satu mata, tetapi apabila dapat tiga mata ia akan naikkan kita punya tangga sekali gus meningkatkan lagi semangat pemain untuk berjaya selepas ini,” katanya kepada Bernama.

Mengulas lanjut, Elavarasan menganggap pemain mendapat suntikan semangat daripada Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United, Datuk Mohd Yusof Mahadi yang memberikan kata-kata semangat supaya  bermain sebaik mungkin dalam memperbaiki kedudukan dalam carta Liga Super.

“Separuh masa kedua saya lihat sudah 50-50 yang mana perlawanan akan jadi satu sama ataupun akan dapat lebih lagi, kita dapat banyak peluang, Kedah juga saya rasa dapat banyak peluang untuk menyamakan  gol tetapi nasib menyebelahi kita hingga dapat tiga mata yang lebih penting buat kita,” katanya.

Dalam pada itu, ketua jurulatih Kedah, Mohd Nidzam Adzha Yusoff berkata corak permainan pada separuh masa pertama dilihat kurang berkesan namun pemain mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan gol pada separuh masa kedua.

Namun beliau akui, nasib tidak menyebelahi pasukannya malam sehingga tewas kepada Melaka United.

“Kalau tidak silap ada empat atau lima peluang untuk jaringkan gol, tetapi kita kalah pada malam ini antaranya atas faktor nasib juga yang tidak menyebelahi kita,” katanya.