Luar Negara Eropah

Masa depan Griezmann diketahui sebelum Piala Dunia

Penyerang Athletico Madrid, Antoine Griezmann yang sering menjadi buruan kelab-kelab ternama dunia akhirnya mengesahkan beliau akan membuat keputusan sama ada kekal atau pindah sebelum Piala Dunia berlangsung.

Pemain kebangsaan Perancis itu kini dikaitkan dengan Barcelona walaupun tempoh kontraknya masih berbaki empat tahun dengan Athletico.

Namun Griezmann yang menjaringkan gol menerusi penalti ketika Perancis menewaskan Itali 3-1 dalam perlawanan persahabatan awal pagi tadi memberikan reaksi berbeza kepada pemberita ketika ditanya mengenai masa depannya.

“Ya, ia akan diselesaikan sebelum Piala Dunia,” katanya kepada Goal.com semasa ditanya sama ada akan ada sebarang pengumuman dalam beberapa minggu akan datang.

Griezmann yang menjaringkan 29 gol dalam semua pertandingan musim ini dilihat sebagai salah satu pemain yang boleh menguatkan lagi Barcelona selepas dijangka beberapa pemain Barcelona akan dilepaskan termasuklah Ousmane Dembele.

Bagaimanapun, Presiden Athletico Madrid, Enrique Cerezo menganggap Griezmann bukan untuk dijual malah rakan sepasukannya Diego Costa juga yakin bahawa Griezmann akan kekal.

“Griezmann hanya mempunyai sedikit masa untuk memperkatakan tentang masa depannya dan saya rasa ada keraguan mengenainya.

“Beliau tahu kami sangat sayangkannya dan beliau merupakan watak penting di sini, pemain yang sangat penting. Kalau beliau kekal bersama kami, sudah tentu itu perkara yang sangat bagus.

“Kalau beliau pindah, kami pun perlu gembira kerana beliau sudah menyumbangkan satu piala musim ini, tetapi saya rasa beliau tetap akan bersama kami,” kata Cerezo.