Akhirnya terjawab kenapa penyerang Denmark, Ken Ilso Larsen meninggalkan Pulau Pinang.
Bekas penyerang Kedah itu menyatakan bahawa dia telah sah meninggalkan kelab Liga Perdana itu selepas pasukan itu didakwa gagal membayar gajinya selama tiga bulan ekoran masalah kewangan yang melanda pasukan dari utara tanah air itu.
“FAP gagal membayar gaji saya selama tiga bulan bermula Februari, Mac dan April lalu. Jadi selepas tiga bulan, berdasarkan undang-undang, saya boleh menamatkan kontrak berkenaan.
“Sebelum itu saya sudah memberi dua surat peringatan kepada FAP mengenai tunggakan gaji itu dan selepas permintaan saya itu tidak diendahkan maka baru saya buat keputusan untuk keluar daripada pasukan,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Ken Ilso dikhabarkan telah meminta bantuan Persatuan Bolasepak Denmark untuk membawa kes tersebut kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Nampaknya masih ada isu pasukan yang mahu berbelanja besar, tetapi tidak mampu membayar gaji pemain. Dalam proses mengejar penswastaan, kelab-kelab masih gagal menjaga kewangan masing-masing.
Selain daripada Pulau Pinang, antara pasukan yang berdepan masalah kewangan pada musim ini adalah Kelantan yang terpaksa melepaskan ramai pemain dan juga Kuantan Marcerra yang akhirnya terpaksa menarik diri daripada saingan Liga Premier.