Piala Dunia 2018 Kajian & Analisis

Senarai perlawanan Piala Dunia yang dipenuhi aksi kasar melampaui batas

Sebagai satu kejohanan yang terbaik di dunia, Piala Dunia sering diselitkan dengan aksi yang menarik perhatian. Bagaimanapun, ia tidak bermaksud Piala Dunia tidak mempunyai kekurangan.

Beberapa perlawanan dalam Piala Dunia juga pernah berlangsung dalam suasana tegang dan dipenuhi aksi kasar. Sememangnya wajar untuk setiap pemain berjuang bagi mengharumkan nama negara masing-masing tetapi terdapat beberapa insiden kasar yang melampaui batas.

Berikut adalah senarai aksi tersebut:

Brazil lwn Czechoslovakia (1938)

Jauh sebelum ibu bapa kita dilahirkan, Piala Dunia telah diwarnai satu aksi seperti di medan perang. Pertemuan antara Brazil dan Czechoslovakia (kini dikenali dengan nama Republik Czech) di suku akhir Piala Dunia 1938 menyaksikan enam orang daripada kedua-dua pasukan terpaksa dibawa keluar akibat kecederaan termasuk dua orang pemain Czech mengalami patah tangan. Empat lagi pemain terpaksa dibawa keluar. Kesan terhadap perlawanan ini adalah disebabkan oleh pengadil, Pal von Hertzka, yang tidak tegas. Kini, pertarungan ini dikenali dengan nama Battle of Bordeaux, merujuk kepada kota Bordeaux, tempat dimana aksi itu dilangsungkan.

Hungary lwn Brazil (1954)

Brazil sekali lagi terlibat dalam aksi ganas di padang. Pertemuan Selecao menentang Hungary di suku akhir Piala Dunia 1954 kini dikenali dengan nama Battle of Berne. Suasana tegang yang berlangsung di kota berne, Switzerland, itu mula tercetus daripada penyokong Brazil apabila pengadil memberikan sepakan penalti kepada lawan. Ia berakhir dengan tiga orang pemain diperintah keluar padang. Malah, ia berlarutan sehingga ke bilik persalinan sehingga menyebabkan pengendali Hungary, Gustav Sebes, mengalami kecederaan. Pertemuan antara dua negara yang dikatakan paling kuat ketika itu berakhir di luar jangkaan.

Chile lwn Itali (1962)

Aksi antara Chile dan itali ketika Piala Dunia 1962 boleh disebutkan sebagai satu pertumpahan darah. Ia tampak tegang apabila terdapat wartawan dari Itali yang menyifatkan Chile sebagai sebuah negara yang buruk. Petanda buruk mula terbayang apabila wujud rempuhan ketika aksi baru berusia 12 minit. Kedua-dua pasukan menampilkan aksi kotor sehingga menyebabkan seorang pemain mengalami patah hidung, dua orang pemain diperintah keluar padang dan pihak polis terpaksa masuk campur dalam perlawanan sebanyak tiga kali. Pertemuan ini dikenali dengan nama Battle of Santiago, merujuk kepada ibu kota Chile. Elemen bagus yang dilihat dalam perlawanan ini adalah ketika pengadil, Ken Aston, mencipta kad kuning dank ad merah untuk memudahkan pihak pengadil mengendalikan perlawanan.

Denmark lwn Afrika Selatan (1998)

Perlawanan antara Denmark dan Afrika Selatan sebenarnya tidak begitu kasar jika melihat sudut kekerasan. Namun, tiga pemain telah diperintah keluar padang dan tujuh yang lain menerima kad kuning. Mengapa? Pengadil perlawanan, John Toro Rendon, tampak mudah melayangkan kad sehingga pengadil dari Colombia itu menerima kritikan walaupun perlawanan jelas berlangsung keras dan kasar.

Belanda lwn Portugal (2006)

Salah satu aksi paling gila dalam sejarah bola sepak kerana empat kad merah dan 16 kad kuning telah dikeluarkan oleh pengadil dalam sebuah perlawanan. Jumlah ini memecahkan rekod kad dalam satu perlawanan yang dikeluarkan oleh fifA. Aksi itu sememangnya sangat kotor. Bermula dengan Khalid Boulahrouz yang mencederakan Cristiano Ronaldo, perlawanan terus menjadi satu pentas pergaduhan. Banyak halangan keras, pemain menggunakan siku dan pemain dari bangku simpanan masuk ke padang. Pengadil dari Russia, Valentin Ivanov, yang mengendalikan perlawanan ini telah dikritik keras dan aksi ini dikenali dengan nama Battle of Nuremberg.

Sepanyol lwn Belanda (2010)

Aksi final Piala Dunia kebiasaannya berlangsung dengan lancer dan dalam kelas tersendiri, kecuali Piala Dunia 2010. Aksi final ini dicemari dengan beberapa halangan keras dan kemuncaknya sudah pasti tendangan ala kungfu oleh Nigel de Jong terhadap Xabi Alonso. Pengadil perlawanan, Howard Webb, telah mengeluarkan 14 kad kuning tetapi tetap dikritik kerana melayangkan kad merah buat John Heitinga dan bukan de Jong. Pengendali Belanda, Bert Van Marwijk, menerima kritikan yang teruk kerana tidak dapat mengawal anak buahnya.

Brazil lwn Colombia (2014)

Perlawanan ini sememangnya tidak melihat sebarang layangkan kad merah tetapi tetap berjalan dengan kasar tatkala setiap pemain menjadi sasaran. Berdasarkan Forbes, James Rodriguez menerima enam terjahan keras daripada pemain Brazil sementara Neymar, seperti yang diketahui telah diterjah oleh Camillo Zuniga sehingga tidak dapat beraksi di separuh akhir, sekaligus membuatkan Brazil berputih mata.