Malaysia Liga Super Malaysia

Sabah mahu dapatkan bekas pemain import PKNS

Pasukan Sabah yang kini dalam misi untuk cuba mendapatkan tempat ke Liga Super nampaknya bakal memperkuat pasukan mereka dengan pemain import baru yang sudah biasa dengan Liga Malaysia.

Ketua jurulatih Sabah, Jelius Ating dikhabarkan berminat untuk mendapatkan bekas pemain PKNS FC, Keisuke Ogawa untuk memperkuat pasukan itu.

Keisuke yang boleh beraksi di bahagian tengah atau pertahanan, pernah beraksi bersama PKNS FC pada tahun 2015. Kini dia sedang menjalani ujian bersama Sabah selepas meninggalkan kelab Myanmar, Yadanarbon FC.

Pemain berusia 31 tahun itu dikhabarkan telah menarik minat Jelius ketika sesi ujian dan akan menandatangani kontrak untuk menyertai Sabah tidak lama lagi.

Sabah kini berada di tangga kelima Liga Premier dengan 15 mata. Jika Sabah mahu mendapatkan slot ke Liga Super, mereka perlu lebih konsisten untuk mengejar dua pasukan yang kini sedang mengisi slot berkenaan, iaitu Felda United dan Felcra FC.

Setakat ini, Sabah baru mencatat dua kemenangan daripada 11 perlawanan. Apa yang menjadi masalah buat Sabah ialah, mereka tidak terlalu banyak kekalahan (2), tetapi terlalu banyak perlawanan mereka yang berakhir dengan keputusan seri (6).