Dalam perlawanan bolasepak, ada kalanya kita tidak akan berpuas hati dengan keputusan pengadil. Apabila itu terjadi, pastinya akan ada pertengkaran atau perdebatan di antara pemain dengan pengadil. Biasanya ia tidaklah terlalu kasar dan diselesaikan dengan cepat.
Tetapi, mungkin apa yang terjadi dalam perlawanan Liga 1 Indonesia melibatkan PSM Makassar dan Borneo FC agak melampau.
Perlawanan yang dimenangi PSM Makassar dengan keputusan 1-0 itu berakhir dengan satu insiden yang panas. Pemain Borneo FC yang tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil telah mengejar pengadil beramai-beramai bagi mendapatkan penjelasan.
Pemain-pemain Borneo FC dikatakan berang dengan keputusan pengadil yang menghadiahkan sepakan percuma kepada PSM Makassar di masa kecederaan yang digunakan sebaiknya oleh PSM Makassar untuk menjaringkan gol kemenangan mereka.
Tindakan pengadil perlawanan, Handri Kristato itu turut diperli oleh ketua jurulatih Borneo FC, Dejan Antonic dalam sidang media selepas perlawanan tersebut.
“Terima kasih kepada pengadil yang telah melakukan ‘tugasnya’ pada malam ini.
“Para pemain kami sudah beraksi baik. Kami tidak dapat meraih mata kerana sepakan percuma yang dihadiahkan perlawanan dimanfaatkan oleh PSM.”
Borneo FC kini berada di tangga ke-15 selepas sekadar mencatat dua kemenangan daripada sembilan perlawanan. Bagi PSM Makassar pula, kemenangan itu membantu mereka berkongsi tangga teratas liga bersama Persipura Jayapura yang mendahului mereka dengan kelebihan jaringan gol. Kedua-dua pasukan memiliki 17 mata selepas sembilan perlawanan.