Malaysia Berita

Walaupun berdepan masalah kewangan, Perlis tidak akan tarik diri

Persatuan Bola Sepak Negeri Perlis (PFA) mengesahkan mereka tidak akan menarik diri dari saingan Liga FAM walaupun berdepan dengan masalah kewangan yang cukup serius ketika ini.

Malah Naib Presiden PFA 3, Abdul Karim Khan Mansor Ahmad Khan memberi jaminan bahawa pihaknya akan menyelesaikan masalah tunggakan gaji sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Kita tidak akan menarik diri, Perlis sudah memasuki pusingan kedua liga, malah pasukan presiden dan pasukan belia juga sudah memasuki pusingan kedua.

“Kita akui berdepan kekangan kewangan ditambah pula Shaharudin Ismail yang meletak jawatan sebagai presiden awal bulan ini tetapi itu bukan faktor untuk menarik diri,” katanya kepada Berita Harian.

Jawatankuasa FAM semalam mengarahkan PFA menjelaskan tunggakan gaji berjumlah RM182,000 yang dituntut oleh 22 orang pemain Perlis.

Mengulas lanjut, Abdul Karim menegaskan pihaknya sedang mencari jalan untuk menyelesaikan tunggakan gaji pemain bagi bulan Mac dan April serta tunggakan gaji bekas pemain pada musim lalu.

“Saya sudah menghubungi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan menerangkan situasi yang sedang kita hadapi. Kita sedang mencari peruntukan, selain turut menanti Menteri Besar Perlis yang baharu bagi membincangkan dan mencari kaedah untuk menyelesaikan masalah ini.

“Kita juga perlu menanggung tunggakan gaji bekas pemain yang sepatutnya diselesaikan pihak pengurusan yang lama. Walaupun mereka yang perlu bertanggungjawab menyelesaikannya, kita akan memastikan tunggakan gaji bekas pemain juga akan diselesaikan,” katanya.