Malaysia Liga Super Malaysia

Negeri Sembilan dapatkan bekas penyerang Atletico Madrid B

Pemain berdarah kacukan Filipina, Angel Guirado Aldeguer sah memperkuat pasukan Negeri Sembilan bagi saingan separuh musim kedua Liga Super 2018.

Angel Guirado dibawa masuk bagi menggantikan tempat pemain Kemboja, Prak Mony Udom, bagi mengisi kekosongan kuota import Asean pasukan Negeri Sembilan.

Kehadiran Angel bersama Negeri Sembilan telah disahkan oleh pemain itu sendiri yang memuat naik gambarnya bersama jersi Negeri Sembilan dengan ayat: “Saya kini secara rasmi bersama pasukan Liga Super Malaysia, Negeri Sembilan, satu pengalaman baru dalam kerjaya saya yang penuh dengan keinginan dan tentunya berharap saya akan terus nikmati perkara yang paling saya cintai, bolasepak.”

Angel Guirado merupakan pemain penyerang yang mempunyai darah Sepanyol-Filipina. Dia mula bermain bolasepak bersama akademi Malaga FC di Sepanyol. Dia pernah beraksi untuk pasukan seperti Cordoba, Atletico Madrid B dan Levante B di Sepanyol.

Pada tahun 2011, Angel telah membuat keputusan untuk beraksi di Asia Tenggara bersama kelab Filipina, Global FC. Pada tahun yang sama, dia membuat keputusan untuk menyarung jersi skuad kebangsaan Filipina selepas mendapat tahu dia mempunyai pertalian darah dengan negara tersebut.

Melihat pada rekod jaringan pemain ini bersama kelab-kelab sebelumnya serta skuad kebangsaan Filipina, kurang pasti adakah dia mampu menggalas tugas sebagai penjaring gol Negeri Sembilan dan membantu Nicolas Velez.

Negeri Sembilan kini diancam penyingkiran daripada Liga Super apabila sekadar memungut lima mata daripada 10 perlawanan sekaligus berada di tangga terbawah Liga Super.