Asia Asia Tenggara

Mario Gomez berang perlawanan ditunda, dakwa penundaan beri kelebihan kepada Persija Jakarta

Perlawanan di antara Persija Jakarta dan Persib Bandung yang dinanti-nantikan telah ditunda. Penundaan ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati daripada kedua-dua pasukan.

Ketua jurulatih Persib Bandung, Mario Gomez dikatakan berang dengan penundaan perlawanan tersebut yang telah merencatkan perancangannya.

“Pada pendapat saya, alasan kononnya dari pihak polis itu tidak benar. Kenapa tidak benar? Kerana sepatutnya mereka membuat pengumuman 50,40,30,10 atau sekurang-kurangnya tujuh hari sebelum perlawanan. Kenapa diberitahu tiga hari sebelum perlawanan?,” kata Gomez seperti dipetik daripada Tribun Jabar.

Bekas pengendali Johor Darul Ta’azim itu juga menyatakan bahawa perubahan itu pelik dan mengaitkan penundaan itu ada kena mengena untuk memberi kelebihan kepada Persija Jakarta.

“Sekarang cuba kamu nilaikan, kerana ini perkara yang benar. Siapa ketua PSSI (plt) sekarang? Joko Driyono? Siapa pemilik Persija?”

“Ini sangat penting, khususnya untuk Bobotoh (penyokong Persib). Mungkin ada yang ingat kami bodoh. Kami tidak bodoh.

“Mereka kehilangan dua pemain yang menyertai skuad kebangsaan, kami hanya seorang. Mereka juga kehilangan beberapa pemain kerana kecederaan, stopper mereka (Jaimerson) dan seorang lagi.”

Perlawanan di antara Persib Bandung dan Persija Jakarta sepatutnya berlangsung pada hari Sabtu ini di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta. Jika tidak ditunda, Persija Jakarta yang beraksi di Piala AFC, perlu beraksi dua perlawanan dalam tempoh empat hari.

Perlawanan tersebut dikatakan terpaksa ditunda kerana tidak mendapat keizinan daripada pihak polis di atas alasan terlalu dekat dengan Hari Buruh.

Perlawanan di antara kedua pasukan ini sememangnya menjadi ‘highlight’ dalam kalendar liga Indonesia kerana perseteruan yang cukup hebat di antara pasukan dan penyokong mereka.