Luar Negara Asia

Arema FC mahu ambil penyokong jadi petugas keselamatan di stadium

Bagaimana mahu menghentikan insiden keganasan di kalangan penyokong? Ambil petugas stadium di kalangan penyokong sendiri.

Itulah yang bakal dilakukan oleh Arema FC selepas insiden yang berlaku ketika perlawanan menentang Persib Bandung di Stadium Kanjuruhan pada minggu lalu.

Menurut pihak panitia perlawanan, antara sebab berlakunya kekecohan dalam perlawanan tersebut adalah disebabkan petugas keselamatan yang melakukan kekasaran ketika menghalang penyokong.

“Kami sudah sepakat untuk menggantikan petugas perlawanan. Ada cadangan untuk mengambil petugas daripada Aremania,” kata CEO Arema, Iwan Budianto seperti dilaporkan Bola.com.

Aremania merupakan penyokong tegar bagi Arema FC, seperti The Jaks untuk Persija Jakarta dan Viking untuk Persib Bandung. Mungkin satu tindakan bijak untuk mengambil petugas keselamatan di kalangan penyokong Aremania untuk menjaga keselamatan terutamanya di kawasan Aremania sendiri. Mereka pastinya tahu apa yang perlu dilakukan dan lebih mudah untuk ahli Aremania sendiri mengawal rakan-rakan mereka.

Pihak Panitia Perlawanan akan berusaha untuk menyediakan petugas keselamatan baru sebelum perlawanan bertemu Persipura Jayapura pada hari Jumaat depan.

Sebelum ini, Arema FC berkerjasama dengan Profesional Guard Malang (PGM) untuk mengawal keselamatan ketika hari perlawanan. Petugas dari PGM memang sudah berpengalaman mengawal keselamatan di pelbagai acara termasuk perlawanan bolasepak.