Kajian & Analisis Malaysia

Analisis: Hentikan Evan Dimas untuk hentikan Selangor, Zhafri ibarat ‘Herrera Kuala Lumpur’

Para penyokong yang hadir di Stadium KLFA di Cheras malam semalam disajikan dengan sebuah perlawanan yang cukup dramatik. Biarpun berdepan dengan tugas yang besar selepas tewas 0-3 pada pusingan pertama perlawanan suku akhir ini, Kuala Lumpur berjaya bangkit menjaringkan tiga gol pada pusingan kedua untuk seri 3-3 sama.

Perlawanan tersebut akhirnya terpaksa ditentukan melalui sepakan penalti. Di situ, penjaga gol Selangor, Khairul Azhan muncul hero mereka selepas menyelamatkan dua sepakan untuk membantu Selangor mara ke separuh akhir dengan kemenangan 8-7 di peringkan sepakan penalti.

Berikut adalah beberapa perkara yang kami perhatikan dalam perlawanan tersebut:

HENTIKAN EVAN, HENTIKAN SELANGOR

Selepas dua perlawanan menentang Selangor, Kuala Lumpur nampaknya sudah mula tahu bagaimana untuk menghentikan serangan Selangor. Hentikan Evan Dimas. Dalam perlawanan ini, bukan seorang pemain, tetapi dua pemain Kuala Lumpur mengawal ketat pergerakan Evan. Irfan Zakaria dan Zhafri Yahya bermain cemerlang dan langsung tidak memberikan ruang kepada Evan untuk merancang serangan buat Selangor.

SELANGOR ANCAM DI SEBELAH KIRI

Selangor tahu Kuala Lumpur perlukan gol. Mereka tahu Kuala Lumpur akan menyerang dari bahagian sayap dengan kedua-dua full back akan lebih banyak menyerang. Di antara Firdaus dan Syazwan Andik, Syazwan yang mungkin lebih banyak akan menyerang dan kurang 'defensive' berbanding Firdaus. Oleh sebab itu, Selangor lebih banyak menyerang di sebelah kiri Kuala Lumpur menerusi Kugan dan Ilham Udin sekali sekala bermain di sebelah kiri. Bagi mengatasi masalah ini dan memberikan ruang untuk Syazwan membantu serangan, pemain-pemain tengah seperti Zhafri dan Irfan serta Jufriyanto banyak membantu menutup ruang di sayap kiri.

ZHAFRI 'ANDER HERRERA' YAHYA

Perlu menyerang dan perlu bermain dengan tempo pantas, Zhafri Yahya mengambil alih peranan Irfan Zakaria untuk mengutip bola dari bawah dan memulakan serangan. Zhafri bukan sekadar membantu bertahan, tetapi juga membantu untuk menambah bilangan pemain ketika menyerang. Zhafri ibarat Ander Herrera buat Kuala Lumpur dengan tenaganya yang banyak membantu Kuala Lumpur terutamanya dengan Alfonso De La Cruz yang langusng tidak membantu Evan di bahagian tengah.

DUA PERTAHANAN KAWAL RUFINO

Tanpa kelibat Willian Pacheco, Kuala Lumpur langsung tidak perlu risau dengan serangan Selangor ketika situasi set piece. Oleh sebab itu, satu-satunya bahaya dari Selangor adalah daripada Rufino Segovia. Bagaimana mereka mengatasi bahaya Rufino, letak dua pertahanan untuk mengawal Rufino setiap kali Selangor membuat hantaran jauh. Achmad Jufriyanto, Boburjon Akbarov dan kadang kala Irfan Zakaria, bersama menghalang bahaya permainan fizikal Rufino.

TRIO SERANGAN KUALA LUMPUR EFEKTIF

Menarik untuk melihat barisan serangan Kuala Lumpur tanpa kelibat Guilherme de Paula. Tanpa kelibat penjaring terbanyak skuad City Boys, pasti ramai yang merasakan sukar untuk Kuala Lumpur menembusi pertahanan Selangor. Jadi, KL bijak meletakkan Indra Putra, Zaquan Adha dan Ashri Chuchu untuk menekan barisan pertahanan dan Khairul Azhan di gawang Selangor. Ketiga-tiga pemain ini sering bertukar-tukar posisi untuk mengelirukan pertahanan Selangor. Zaquan bermain rapat dengan pertahanan tengah kerana tahu dia boleh 'spin' dan menewaskan lawannya dengan kepantasan. Indra pula banyak digunakan untuk situasi hantaran jauh tinggi, sementara Ashri pula menunggu 'second ball' sama ada daripada tandukan Indra atau hantaran pendek Zaquan untuk menyerang 'direct' pertahanan Selangor. Taktikal sebegini sukar dilakukan kalau De Paula beraksi kerana dia seorang penyerang yang lebih 'laid back' dan tidak menekan dengan agresif.