Malaysia Kajian & Analisis

Analisis: Wander Luiz bantu Perak tumbangkan PKNP, Shahrel Fikri mula tunjuk taring

Perak berjaya mengutip tiga mata berharga malam ini selepas menumpaskan PKNP FC 2-1 dalam perlawanan derbi tempatan di Stadium Batu Kawan.

Selepas tewas menentang PKNS FC di pentas Piala FA minggu lepas, anak buah Mehmet Durakovic memasuki perlawanan ini dengan motivasi yang cukup besar untuk meraih kemenangan. Wander Luiz berjaya membuka tirai jaringan dengan cubaan yang cantik pada minit ke-19, sebelum kapten pasukan, Nasir Basharuddin berjaya meletakkan Perak 2-0 dengan satu lagi gol yang menakjubkan, empat minit kemudian.

The Bos Gaurus gagal mengekalkan momentum positif mereka pada babak kedua, dan itu memberi peluang kepada PKNP untuk mendapatkan gol tunggal melalui Shahrel Fikri pada minit ke-80. Walau bagaimanapun, anak buah Abu Bakar Fadzim gagal mencipta ‘comeback’ pada 10 minit terakhir, sekaligus menghadiahkan kemenangan kepada Perak.

Berikut adalah beberapa perkara yang kami perhatikan dalam perlawanan tersebut:

MASALAH KONSISTENSI BOS GAURUS

Tiga mata berharga buat Perak malam ini, namun persembahan mereka cukup berbeza jika kita bandingkan babak pertama dan babak kedua. Selepas berjaya mendominasi tempo perlawanan pada separuh masa pertama, skuad Mehmet Durakovic gagal membawa momentum tersebut ke separuh masa kedua, di mana mereka memberi ruang kepada PKNP untuk melancarkan serangan dan akhirnya mendapatkan satu gol melalui Shahrel Fikri. Isu ini bukan baru, kerana sepanjang musim ini, Perak bergelut untuk mengekalkan intensiti mereka untuk 90 minit sesebuah perlawanan. Isu ini perlu diselesaikan dengan segera, sebelum kalendar perlawanan menjadi lebih padat pada minggu-minggu akan datang.

WANDER LUIZ TERUS MENYINAR

Bulan lepas, Wander Luiz muncul sebagai pemain terbaik Perak dan malam ini, bintang Brazil ini terus menunjukkan persembahan yang cemerlang sebagai playmaker di Stadium Batu Kawan. Dia menjadi tunjang segala serangan yang dilancarkan oleh skuad Bos Gaurus, dan menunjukkan kombinasi yang positif bersama Norhakim Hassan dan juga Gilmar. Selain mencatat satu gol, Wander Luiz turut membuat pelbagai percubaan yang bahaya sepanjang 90 minit. Jika Mehmet Durakovic mahu anak buahnya mencabar monopoli Johor DT di pentas Liga Super, Wander Luiz perlu mengekalkan momentum ini sehingga penghujung musim.

PKNP PERLU PERKUAT JENTERA SERANGAN

PKNP bukanlah sebuah pasukan yang lemah, mereka hanya kekurangan kualiti di beberapa posisi, terutamanya di bahagian serangan. Penyerang Cambodia mereka, Keo Sokpheng jelas tidak cukup kualiti, manakala Gi-sung Yeon pula, meskipun berjaya tiga gol di pentas Piala FA, masih belum menjaringkan sebarang gol di Liga Super. Jika PKNP boleh membawa masuk seorang penyerang yang lebih berkualiti apabila jendela perpindahan kedua dibuka bulan depan, Abu Bakar Fadzim boleh membentuk skuad yang mungkin boleh mengelak dari tersingkir ke Liga Premier.

DI MANA MISAGH BAHADORAN?

Penyerang Filipina itu akhirnya diberi peluang beraksi dalam kesebelasan pertama Perak malam ini namun dia sekali lagi gagal menunjukkan aksi yang mantap. Misagh dikawal dengan mudah oleh pertahanan kiri PKNP, dan akhirnya dikeluarkan oleh Durakovic pada pertengahan babak kedua. Atas kertas, Bahadoran jelas mempunyai kualiti - musim lepas dia muncul antara pemain terbaik di Liga Bolasepak Filipina dan berjaya membantu Global FC menjadi naib juara. Selain itu, Bahadoran turut memainkan peranan yang besar untuk skuad Filipina yang berjaya layak ke Piala Asia, baru-baru ini. Walau bagaimanapun, dia nampak tidak begitu serasi dengan corak taktikal Durakovic dan masa semakin suntuk untuk dia membuktikan kebolehannya. Jangan lupa, jendela perpindahan kedua akan dibuka bulan depan.

SHAHREL FIKRI BERADA DI LANDASAN YANG TEPAT

Apabila spekulasi yang mengaitkan Shahrel Fikri dengan perpindahan ke kelab yang lebih besar muncul pada bulan Disember lepas, ramai penyokong bolasepak Malaysia yang tidak begitu gembira atas satu sebab - mampukah Shahrel mencari kelab lain yang akan memberi peluang bermain secara konsisten kepadanya? Penyerang berusia 24 tahun itu akhirnya membuat keputusan untuk kekal bersama PKNP, di mana dia kini memainkan peranan yang besar dalam setiap perlawanan. Malam ini, Shahrel sekali lagi muncul sebagai pemain terbaik mereka di atas padang, dan kariernya akan terus berkembang selagi dia diberi peluang bermain secara konsisten oleh Abu Bakar Fadzim.