Malaysia Piala FA Malaysia

Selangor tidak akan main bertahan meskipun sudah mempunyai kelebihan 3-0

Jurulatih Selangor, Nazliazmi Nasir menegaskan pasukannya tidak akan menggunakan taktik secara bertahan sebaliknya akan menyerang habis-habisan banteng pertahanan Kuala Lumpur pada aksi suku akhir kedua Piala FA, malam ini.

Katanya, anak buahnya tidak ada sebab untuk berkampung di kawasan sendiri menentang musuh setempat di gelanggang lawan.

“Selangor tak akan bertahan, kita akan terus memberikan tekanan kepada Kuala Lumpur, menyerang untuk menambahkan lagi jaringan.

“Kita tak akan ambil mudah, kita akan terus fokus, kurangkan kesilapan dan manfaatkan peluang yang ada. Saya percaya semua pemain sudah bersedia untuk diturunkan.

“Masing-masing sedar akan kepentingan untuk menang pada perlawanan kali ini dan pemain tak akan sia-siakan peluang untuk bermain di separuh akhir,” katanya kepada Berita Harian.

Selangor kini dalam kedudukan terbaik untuk mara ke separuh akhir hasil kemenangan 3-0 pada aksi pertama namun mereka dikejutkan dengan kekalahan besar 4-0 kepada Kedah dalam saingan Liga Super minggu lalu.

Lebih pedih apabila Selangor kehilangan lima pemain utama iaitu Willian Pachecho, Amri Yahyah dan Halim Zainal yang digantung perlawanan manakala Joseph Kalang Tie dan Syahmi Safari mengalami kecederaan.

Bagi pemain import Selangor, Evan Dimas menganggap kekalahan perit kepada Kedah dan kehilangan beberapa pemain utama perlu ditangani dengan positif oleh semua pemain Selangor.

“Kekalahan dengan Kedah kita sudah lupakan, jadi kita harus pandang ke depan. Ya saya tahu Amri, Pachecho, Halim dan Syahmi adalah pemain penting buat pasukan. Tapi kita harus percaya dengan pemain yang ada.

“Saya percaya kita boleh mendapat keputusan terbaik,” katanya.